Washington: Polis Texas mendedahkan wanita Indonesia yang ditembak mati, bukanlah individu yang diburu kumpulan bersenjata yang melepaskan tembakan, minggu lalu.
Wanita berusia 25 tahun itu maut selepas 100 das tembakan dilepaskan di sebuah rumah di San Antonio, Texas.
Ketika kejadian, Novita Brazil sedang bekerja di rumahnya sebelum tembakan dilepaskan kira-kira 12.30 tengah malam, 4 Oktober lalu, lapor mysanantonio.com.
Seorang wanita berusia 41 tahun yang turut menginap di rumah sama sebagai tetamu Airbnb juga mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital menurut Pejabat Syerif Kaunti Bexar.
Setakat ini polis menahan lima remaja yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian dan didakwa kerana membunuh.
Selain itu, suspek juga turut didakwa melakukan serangan menggunakan senjata api.
Pejabat Syerif juga memaklumkan remaja, Johnny Bermea, 17, didakwa menyebabkan kematian menggunakan senjata api.
Remaja 14 dan 15 tahun yang turut ditahan juga didakwa atas kesalahan sama.
Polis bagaimanapun tidak mendedahkan pendakwaan yang bakal dikenakan untuk remaja lain yang turut ditahan.
Konsulat Jeneral Indonesia di Houston Andre Omer Siregar berkata, pihaknya sudah menerima permohonan daripada keluarga Novita di Semerang, Jawa Tengah, untuk membawa pulang jenazah ke kampung halaman.
Konsulat Jeneral dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Texas bagi menguruskan jenazah mangsa.
"Kami kini bekerjasama dengan Setiausaha Negeri Texas untuk mendapatkan bantuan bagi mempercepatkan urusan membawa pulang jenazah," katanya.
0 Comments