Autisme Bukan Penghalang Pelajar PhD Ini Terus Berjaya, Cita-Cita Ingin Menjadi Pensyarah

Autisme Bukan Penghalang Pelajar PhD Ini Terus Berjaya, Cita-Cita Ingin Menjadi Pensyarah

 


Walaupun berstatus pelajar autisme, namun ia tidak menghalang buat Nur Arif Jasmin, 30, yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Qur’an dan Sunnah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Foto UIAM

Bercita-cita menjadi seorang pensyarah, pemuda ini telah didedahkan dengan ilmu agama oleh ibunya yang merupakan seorang guru mengaji al-Quran sejak di bangku sekolah lagi.

Seterusnya beliau mendapatkan pelajaran di Sekolah Menengah Agama (SMA) Shamsuddiniah, Gerisek, Johor sehingga ke peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan seterusnya melanjutkan pengajian di UIAM dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh bagi peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana.

Diejek Dan Dibuli Kerana Autisme 

Pernah dibuli dan ditertawakan yang berpunca daripada kekurangan kesedaran masyarakat sekeliling mengenai keadaannya. Namun ia tidak sedikit melunturkan semangatnya untuk berjaya dengan pencapaiannya sekarang.

Nur Arif bersama ahli keluarga selepas menghadiri Majlis Konvokesyen UIAM Ke-36, baru-baru ini

Anak kelahiran Tanjung Malim, Perak ini menangani kesedihan yang dialami dengan melakukan aktiviti yang menyeronokkan antaranya bermain permainan Power Rangers, tanah liat dan mainan helikopter.

Sepanjang lebih lima tahun melanjutkan pengajian di UIAM, dia sentiasa mendapat sokongan dan bimbingan dari pihak universiti seperti Unit Perkhidmatan Kelainan Upaya (DSU) dan Pusat Perkhidmatan Kaunseling dan Kerjaya (CCSC).

Menurut Ketua DSU, Profesor Dr Ruzita Mohd Amin, pihaknya telah merangka pelbagai inisiatif yang dikhususkan kepada Nur Arif supaya dia dapat menjalani proses pengajian dengan baik.

Dibantu Rakan-Rakan Dan Sukarelawan

Selain itu, Nur Arif juga sering dibantu oleh para sukarelawan dan rakan-rakan daripada Kelab Ibn Ummi Maktum yang terdiri daripada pelajar UIAM.

Kini, Nur Arif tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kawan-kawannya mahupun sukarelawan untuk menjalani kehidupan seharian di kampus kerana dia sudah berani untuk berdikari sehinggakan mampu untuk menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan OKU yang lain.

Nur Arif yang sedang memakai kostum Power Rangers bersama rakan-rakan di kampus. Kredit foto: Facebook Nur Arif 

Memandangkan dia adalah pelajar PhD, Nur Arif sentiasa meluangkan masa lapangnya dengan membantu pelajar berkeperluan khas lain seperti membacakan soalan peperiksaan dan memimpin ke kelas untuk pelajar OKU penglihatan.

Lebih membanggakan, Nur Arif turut terpilih sebagai penterjemah untuk sebuah kitab aqidah terbitan Santai Ilmu Publications. Bukan itu sahaja, bakat seni reka grafik yang terpendam turut dapat dicungkil apabila dilantik sebagai pereka grafik bagi Pusat Islam UIAM yang bertanggungjawab mencipta poster dan melukis komik.

Bangga lihat orang Austime berjaya seperti ini. Paling penting jangan jadikan kekurangan itu sebagai penghalang untuk kita berjaya. Moga Nur Arif terus success dia masa akan datang dan berjaya mengapai cita-cita sebagai seorang pensyarah!

Post a Comment

0 Comments