Siapa sangka, kegembiraan berkumpul beramai-ramai bersama anak menantu dan cucu adalah kali yang terakhir bila mana keluarga ini kehilangan insan yang tersayang dalam satu kemalangan semalam.
Siti Khadijah Haron yang maut dalam kemalangan tengah malam tadi sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Tinggi, Pahang selepas berkumpul dengan ahli keluarga mentuanya di Alor Setar, Kedah.
Mangsa bersama suami, Nor Azry Mohd Rosddin, 34, dan tiga anak mereka pulang ke kampung suaminya sejak Isnin lalu.
Bapa mentuanya, Mohd Rosddin Hasbullah, 62, berkata, dia tidak menyangka majlis keluarga diadakan itu merupakan kali terakhir dia bersama menantu dan cucunya.
Menurutnya, dia mengetahui kemalangan meragut nyawa menantu dan cucunya itu selepas dihubungi Nor Azry kira-kira jam 12 tengah malam tadi.
“Nor Azry bersama keluarganya pulang ke kampung untuk meraikan majlis keluarga sejak Isnin lalu. Majlis itu diadakan di rumah anak ketiga dan kami semua berkumpul di situ. Keluarga lain bercadang untuk pulang ke rumah masing-masing pagi ini.
“Bagaimanapun, Nor Azry dan keluarga menyatakan mahu pulang semalam kerana mahu menguruskan hal persekolahan anak sulungnya. Saya kemudiannya menerima panggilan dari Nor Azry mengatakan mereka terlibat kemalangan dan isteri serta bayinya meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Sungai Bakap.
Sementara itu, adik Nor Azry, Mohd Amirul berkata, mereka sekeluarga sempat ke Padang Besar, Perlis sebelum bergerak pulang kira-kira jam 8.30 malam.
Dia berkata, kakak iparnya tidak menunjukkan perubahan besar namun menuruti semua kemahuan anaknya ketika membeli-belah di Padang Besar.
“Tak ada perubahan yang ketara, cuma dia banyak bercakap. Dia hanya menuruti semua kehendak anaknya. Kali terakhir kami mengetahui mengenai mereka ketika menghantar gambar di Whatsapp keluarga menyatakan mereka singgah makan di Bukit Mertajam.
“Menurut abang (saya), ketika kejadian kereta mereka sedang berhenti kerana terdapat kerja membaiki jalan di lebuhraya namun tiba-tiba kenderaan mereka dirempuh sebuah treler,” katanya.
0 Comments