Ke mana Siti Nor Naqiah, 6 Bulan Masih Belum Ditemui

Ke mana Siti Nor Naqiah, 6 Bulan Masih Belum Ditemui

 


Langkawi: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang dari rumahnya di sini, sejak Oktober tahun lalu.

Siti Nor Naqiah Mohar, 33, dilaporkan keluar dari rumahnya pada 10 Oktober 2022 dan sehingga kini masih gagal ditemui.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata laporan kehilangan wanita itu dibuat oleh anaknya pada 19 April lalu, iaitu kira-kira enam bulan selepas ibunya dikatakan kali terakhir dilihat di rumahnya.

"Wanita yang hilang itu didakwa keluar dari rumah pada 10 Oktober 2022 ke Kuala Perlis dan ada menghubungi anaknya keesokannya memaklumkan telah tiba ke destinasi yang dituju tapi tidak mendedahkan lokasi sebenar.

"Kali terakhir wanita itu menghubungi anaknya adalah pada 16 Februari lalu dan pengadu memuat naik mengenai kehilangan ibunya di media sosial, namun masih tiada berita," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, menurut pengadu, sebelum ini ibunya pernah beberapa kali meninggalkan rumah tetapi ada memaklumkan tempat yang dituju, namun kali ini berbeza kerana tidak memaklumkannya dan sepi tanpa sebarang berita.

"Wanita terbabit dipercayai tidak lagi sehaluan dengan suami yang juga seorang peniaga dan masih menetap di pulau ini," katanya.

Orang ramai diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di talian 04-9666222 atau mana-mana balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat lanjut.

Post a Comment

0 Comments