Tahukah anda Malaysia telah mengeluarkan undang-undang untuk mendakwa pihak ketiga atau bahasa kasarnya penyondol yang mengganggu sesebuah rumahtangga supaya didakwa ke mahkamah.
Menurut Peguam Syarie Atikah Rashid, isteri atau suami yang mempunyai bukti kukuh mengenai kecurangan pasangan bersama orang ketiga boleh membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam negeri.
Beliau berkata, mengganggu rumah tangga orang lain adalah kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.
“Sekiranya ada bukti kukuh dan mencukupi, perosak rumah tangga boleh didakwa di bawah peruntukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah. Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman maksimum seperti penjara,” katanya.
Pelbagai kesalahan boleh dikenakan, antaranya peruntukan Seksyen 36, iaitu memujuk lari perempuan bersuami, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Elakkan menggunakan media sosial untuk menyebarkan kes kecurangan suami atau isteri.
“Sepatutnya pihak yang dalam kesusahan atau menginginkan penyelesaian, carilah badan yang berautoriti bagi memastikan isu atau masalah dapat ditangani sebaiknya,” katanya.
Berikut adalah proses aduan dan pelaksanaan berhubung kesalahan syariah melibatkan pihak ketiga:
1)Mangsa dikehendaki membuat aduan dengan mengisi borang aduan melibatkan pihak ketiga.
2)Menyediakan bukti dalam bentuk gambar, dokumen atau mesej di mana-mana aplikasi terlibat.
3)Setelah mendapati bukti mencukupi, pegawai agama boleh membuka kertas siasatan.
4)Pendakwa Syarie kemudiannya akan membuka dan meneliti kertas siasatan yang diajukan kepadanya oleh pegawai agama.
Mengulas lanjut, Atikah berkata, antara langkah yang boleh dibuat sekiranya terbukti pasangan berlaku curang adalah mendapatkan hak selepas diceraikan.
“Jika suami yang berlaku curang, isteri boleh mendapat mut’ah, nafkah iddah dan nafkah tertunggak. Isteri juga boleh memohon penceraian melalui fasakh kerana suami berlaku curang dan tidak menjalankan tanggungjawabnya.
“Jika isteri yang berlaku curang, suami boleh memfailkan kes nusyuz di Mahkamah Syariah supaya tidak layak menerima nafkah sebagai isteri,” ujarnya.
Sumber: fmt
0 Comments