Selepas majlis Khatam al- Quran, bakal isteri kepada pelawak Shuib iaitu Watie Hanifiah telah diraikan pula dalam sebuah majlis malam berinai yang bertemakan Arabic Night di Glasshouse at Seputeh, malam tadi.
Dalam majlis tersebut, Watie yang mengenakan baju berona 'shocking pink' bertemakan negara padang pasir itu meluahkan rasa syukur dan gembira apabila impiannya untuk mengadakan majlis malam berinai sebegitu sebelum bergelar isteri dapat direalisasikan.
"Alhamdulilah saya bersyukur dan gembira kerana impian saya hendak mengadakan majlis malam berinai yang saya impi-impikan tercapai malam ini. Saya suka dengan tema negara Arab ni kerana ia lebih meriah lebih-lebih lagi dapat diraikan bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat," ujarnya.
Jelas Watie yang berseri-seri duduk di atas pelamin itu, dia terpaksa mengadakan majlis malam berinai itu lebih awal iaitu 10 hari sebelum bergelar isteri kerana mengikut kelapangan Shuib.
"Sebenarnya Shuib ni terlalu sibuk dan jadualnya padat, jadi hanya pada tarikh ini kita dapat adakan majlis pada malam ini. Lagipun saya lebih suka ia diadakan lebih awal supaya selepas ini dapat fokus pada majlis pernikahan sahaja nanti," kongsi Watie lagi.
Dalam majlis berkenaan, Shuib turut hadir di pertengahan acara bersama anak-anak dan ibunya sedondon mengenakan busana berwarna sama seperti tunangnya. Ramai kenalan artis turut hadir memeriahkan majlis.
Kredit: artismalaysia
0 Comments