Penyanyi rap, MK K-Clique meluahkan rasa syukur majlis pernikahannya dengan wanita pilihan hati, Siti Hajaar berjalan lancar meskipun perancangan dibuat dalam masa dua minggu sahaja.
Memetik mStar Online, MK berkata dia dan isteri mahu utamakan perkara wajib dahulu dan segerakan nikah kerana mahu mengelak fitnah serta mengakui ada dugaan sebelum berlangsung majlis pernikahan.
“Perancangan untuk berkahwin memang ada sebelum ini, tapi kami belum tetapkan sebarang tarikh. Jadi saya perlu pilih tarikh sesuai untuk urusan dokumen dan sebagainya.
“Syukur segalanya berjalan lancar walau dalam tempoh dua minggu melakukan persiapan. Ada juga dugaan kecil, tapi tidak ganggu proses majlis.
“Kami mahu utamakan perkara wajib. Dalam masa sama mahu elak fitnah orang ramai. Jadi kami segerakan bernikah,” katanya.
Berkongsi mengenai perkenalan mereka, MK berkata dia dan isterinya yang juga seorang usahawan menjalin hubungan cinta sejak empat tahun lalu.
“Saya tak rahsiakan, cuma tak menunjuk hubungan kami. Perkara yang belum pasti lebih elok tidak terlalu berkongsi.
“Selepas ini pun saya tak mahu terlalu dedahkan kisah hidup bersama isteri. Mungkin ketika hadir di majlis tertentu saja saya akan bawa dia bersama,” katanya.
Dalam pada itu, MK berkata isterinya banyak mengajarnya tentang kehidupan serta menegur supaya tidak melakukan tindakan tidak sepatutnya.
“Syukur dia banyak mengajar saya tentang kehidupan termasuk daripada segi percakapan, adab dan penampilan. Dari sudut kerjaya seni dia banyak menegur supaya menjaga tingkah elak melakukan perkara tidak sepatutnya,” katanya.
0 Comments