KUALA LUMPUR: Sekumpulan 125 banduan di sebuah penjara dekat utara Semenanjung menandatangani petisyen untuk menggesa kerajaan menyiasat perlakuan dera yang didakwa mereka dilakukan pegawai wadar.
Memetik laporan FMT hari ini, ia kali kedua petisyen seumpama itu dihantar berikutan timbul dakwaan penderaan di satu lagi fasiliti itu di negeri sama.
Petisyen itu ditulis semua kumpulan banduan terbabit ketika masih dalam tahanan sebelum ia diserahkan kepada peguam mereka, Husaini Abdul Rashid, menerusi dua rakan yang dibebaskan dari penjara baru-baru ini.
Tahun lalu, Husaini pernah membangkitkan mengenai isu penderaan terhadap banduan di penjara, akan merujuk perkara itu kepada Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam negeri (KDN).
Banduan terbabit turut mendakwa pihak wadar bertindak menyembunyi paip berkenaan sewaktu lawatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) ke fasiliti itu.
"Jika mereka mendengar SUHAKAM atau orang lain mahu datang membuat pemeriksaan, mereka menyorok paip-paip itu," dakwanya.
Selain dikenakan hukuman kerana berbual, mereka juga mendakwa tahanan reman sering kali dilayan dengan diperiksa di bahagian rongga badan apabila pulang dari mahkamah kerana disyaki cuba menyeludup dadah.
"Kami diarahkan baring secara berbogel di atas lantai untuk 'kopek durian' (mengepak punggung)," dakwanya sambil menjelaskan layanan buruk itu dialami mereka yang dalam tahanan reman.
Bekas banduan itu turut mendakwa bekalan air terhad dalam penjara menyebabkan mereka tidak dapat mandi selama lapan hari, termasuk sukar membersihkan diri selepas membuang air besar dan mengambil wuduk.
Mereka mendakwa makanan dihidangkan atas pinggang berkulat dan diberikan nasi basi serta sepotong kecil ikan kukus.
Jika ada tahanan mengadu, mereka mendakwa akan dihukum wadar penjara sama ada dipukul atau dikurung seorang diri.
Dakwaan lain adalah mereka dinafikan waktu rehat untuk bersenam atau membaca, selain tidak diberi rawatan sewajarnya jika sakit.
BH sedang cuba mendapatkan komen pengarah penjara di negeri yang didakwa berlaku kes penderaan itu, selain Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad.
0 Comments