Ibu hadir pertama kali beri sokongan kepada Yasin

Ibu hadir pertama kali beri sokongan kepada Yasin

 


PETALING JAYA: Ibu kepada Muhammad Yasin Sulaiman, hadir buat pertama kali ke mahkamah hari ini untuk memberikan sokongan kepada penyanyi dan komposer itu yang berdepan pertuduhan mengedar dadah jenis ganja.

Selain memberikan sokongan, Suzanah Abdullah, 73, dikatakan hadir untuk memastikan Yasin berada dalam keadaan baik.

Abang kepada Yasin, Marwan Sulaiman, mengakui ia kali pertama ibunya itu hadir ke mahkamah sejak Yasin berdepan pertuduhan, namun sudah sering menziarahi adiknya itu di penjara.

"Hari ini rasa macam tarikh penting, nak tahu apa berlaku dan apa perancangan mahkamah.

"Jadi ibu ambil keputusan nak datang hari ini untuk beri sokongan dan pastikan Yasin dalam keadaan baik," katanya.

Dalam pada itu, Marwan berkata, keadaan kesihatan ibunya baik, namun faktor usia menyebabkannya tidak boleh hadir ke mahkamah setiap minggu seperti anak muda.

"Namun, ibu hadir ke mahkamah hari ini memberi semangat kepada Yasin yang dulu ada penyakit tiroid dan bipolar.

"Saya tak pasti kalau ibu larat nak beri sokongan dan hadir pada bicara 28 dan 29 Ogos ini," katanya.

Gangguan bipolar adalah penyakit mental yang menyebabkan perubahan mod tinggi dan rendah yang teruk serta perubahan dalam tidur, tenaga, pemikiran serta tingkah laku.

Terdahulu, Hakim Faiz Dziyauddin, membenarkan sepina dikeluarkan terhadap Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony, untuk dijadikan saksi pembelaan kes berkenaan, selain mengekalkan tarikh bicara pada 28 dan 29 Ogos ini.

Kebenaran sepina diberikan selepas dimohon peguam bela Yasin, Ariff Azami Hussein, manakala Timbalan Pendakwa Raya

Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, mengesahkan akan memanggil antara lapan hingga 10 saksi.

Pada 31 Mac 2022, Yasin, 48, yang terkenal melalui lagu 'Mimpi Laila' berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya, 24 Mac tahun sama.

Bagaimanapun, Yasin terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas mahkamah melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan berkenaan sebelum didakwa atas tuduhan memiliki ganja.

Penyanyi nasyid itu juga didakwa memberikan dirinya dadah di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada tarikh sama.

Selain itu, penyanyi berkenaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di kediamannya.

Post a Comment

0 Comments