Mohamed Imran didakwa dera isteri hingga mati

Mohamed Imran didakwa dera isteri hingga mati

 


Kajang: Ahli perniagaan yang menjadi buruan polis selepas mendera isterinya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh, bulan lalu.

Bagaimanapun, Mohamed Imran Mohamed Yunos, 32, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Azween Noor Alias, 38, di sebuah unit pangsapuri di Jalan Sutera Pines antara jam 8 malam hingga 10.30 malam pada 22 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran manakala tertuduh diwakili peguam P Gunalan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 September ini bagi sebutan semula kes sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Berita sebelum ini melaporkan Azween meninggal dunia di sebuah hospital swasta dekat Kajang, dipercayai akibat didera suaminya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilaporkan berkata, polis menerima laporan kejadian pada 12.15 tengah malam.

"Mangsa dihantar oleh suaminya dan selepas mendapat tahu isterinya disahkan sudah meninggal dunia, dia menghilangkan diri.

"Pemeriksaan awal pegawai perubatan terbabit mendapati terdapat kesan cedera dan lebam di seluruh badan mangsa.

"Mayat diserahkan ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," katanya.

Hasil bedah siasat terhadap mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan di keseluruhan badan manakala pakar patalogi mengesahkan punca kematian adalah akibat dipukul objek tumpul sehingga mengakibatkan kecederaan dalaman yang serius.

Post a Comment

0 Comments