SEORANG gadis berusia 20 tahun ditemukan maut di dalam sebuah kereta dipercayai akibat keracunan gas monoksida ketika bersama rakan lelakinya, di sebuah stesen minyak di Kota Bharu, Ahad malam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta jenis Myvi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah ke atas mangsa.
"Hasil bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mendapati, kematian gadis tersebut berpunca daripada keracunan gas monoksida," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu katanya, mangsa lelaki yang berusia 20 tahun ketika ini masih menerima rawatan di HRPZ II.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut dan siasatan masih dijalankan.
Mohd Rosdi turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu bagi menghormati privasi keluarga mangsa.
0 Comments