"Jasad Belum Dijumpai", Adik Danish Dikhuatiri Hanyut Dibawa Arus Longkang

"Jasad Belum Dijumpai", Adik Danish Dikhuatiri Hanyut Dibawa Arus Longkang

 

Lokasi mangsa berumur dua tahun yang dikatakan hanyut selepas jatuh dalam longkang di Melaka pada Sabtu. — Facebook



SEORANG kanak-kanak lelaki hilang dipercayai hanyut selepas jatuh ke dalam longkang sedalam satu meter di Jalan Bukit Baru, Bukit Palah, Melaka pada Sabtu.

Ketika kejadian, bapa kepada mangsa, Muhammad Danish Mohd Faizal, 2, dikatakan menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan selepas menyedari perkara itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh sudah dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, bapa mangsa memaklumkan anak lelakinya hilang dan disyaki terjatuh dalam longkang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada sabtu.







Pihak bomba dan polis yang sedang menjalankan operasi menyelamat ketika kejadian. — Facebook

Sementara itu, memetik laporan Bernama, ibu mangsa, Nor Amiza Che Kar, 28, berkata, anak bongsunya hilang ketika dia dan suami sedang berniaga nasi kerabu di lokasi kejadian.

Dia berkata, mangsa sedang bermain dengan anak ketiganya berdekatan longkang tersebut yang dipenuhi air berikutan hujan lebat sejak tengah hari.

"Saya hanya sedar kehilangan Muhammad Danish kira-kira pukul 3.30 petang. Saya tanya anak ketiga tetapi dia tak tahu keberadaan adiknya itu.

"Hanya seliparnya sahaja yang kelihatan di kawasan berumput berdekatan longkang tersebut. Saya dan suami, Mohd Faizal Maarop, 38, cuba cari selama 20 minit tapi Muhammad Danish gagal ditemukan,” katanya.

Nor Amiza berkata, Muhammad Danish memakai baju berwarna biru ketika kejadian dan keluarganya memohon bantuan orang ramai bagi mengesan anaknya itu.

"Saya percaya Danish masih hidup. Tolonglah kalau ada sesiapa terjumpa Danish yang memakai baju biru di mana-mana, pulangkanlah kepada saya.

"Kami langsung tidak menyangka tragedi ini akan berlaku ketika sedang mencari rezeki. Saya sudah berniaga di sini sejak tiga tahun lalu,” katanya lagi.

Bagaimanapun, operasi menyelamat dan usaha pencarian mangsa dilaporkan masih dijalankan setakat ini.





Post a Comment

0 Comments