GEMPAR di platform TikTok apabila pekerja sebuah
restoran mendedahkan dia menerima pesanan pelik daripada seorang pelanggan.
Menerusi video yang dikongsikan,
pelanggan yang membuat pesanan melalui aplikasi tempahanan makanan itu
meninggalkan permintaan khas kepada restoran agar menyediakan hidangan nasi
lemak kari dicampur serbuk Milo.
Difahamkan pesanan luar biasa itu dibuat sempena sambutan hari ulang
tahun kelahiran pelanggan berkenaan.
Staf restoran menyiapkan pesanan makanan yang berbeza daripada kebiasaan.
Video itu dimuat naik oleh staf restoran di pusat beli-belah The Mines, Seri
Kembangan, Selangor yang terkejut apabila hendak menyediakan pesanan tersebut.
Warga maya turut berasa teruja
apabila mengetahui kewujudan gabungan menu sedemikian.
"Saya sekarang ni tengah
mengandung, tiba-tiba nampak nasi lemak kari Milo ni, terus rasa mengidam. Mana
nak cari ya?
"Macam mana boleh 'ngam' eh
campur benda manisan dengan nasi berlauk yang berkari macam ni? Tak apa la
selera orang lain-lain kan," kata sebahagian warga maya.
Walaupun begitu, staf berkenaan
yang dikenali sebagai Shaheera Azhar ketika dihubungi mStar mendedahkan
'pelanggan' itu ternyata merupakan pengurus di tempat dia bekerja.
"Sebenarnya pelanggan tu manager
saya, nama dia Wan. Apa yang berlaku ni merupakan perancangan antara bos kami
dengan isteri Wan kerana nak beri kejutan untuk manager saya tu.
Saya sejak kecil memang suka eksperimen campur Milo dalam makanan, sampai mak pesan jangan cepat sangat habiskan Milo.
Wan Muhammad
Firdaus Syed Razali
"Dalam diam bos kami yang
hantar pesanan tu. Wan pula waktu tu berada di rumah. Dia pun terkejut apabila
bungkusan makanan sampai di rumah, lagi terkejut nampak apa yang dia dapat.
"Kalau nak tahu, satu hal
tentang manager saya ni, dia memang suka Milo, itu favourite dia
setiap masa, tak dapat dipisahkan.
"Sebab itulah saya terus
rakam apabila mula-mula dapat order tu, saya tak sangka wujud spesies
macam manager saya yang tergila-gilakan Milo ni. Tak sangka pula saya
pun kena game" jelas Shaheera.
Sementara itu pengurus restoran
dengan panggilan Wan atau nama lengkapnya Wan Muhammad Firdaus Syed Razali
ketika bercerita kepada mStar berkata kesukaan melampau terhadap Milo
bermula sejak di awal usia.
Wan sangat mencintai Milo dalam makanannya.
"Sejak kecil saya memang suka
eksperimen campur Milo dalam makanan, sampai mak pesan dulu jangan cepat sangat
habiskan Milo dekat rumah tu. Ahli keluarga yang lain tak ada pula share keistimewaan
saya ni.
"Pada saya Milo ni macam
penyedap rasa dalam makanan, kalau orang biasa mungkin letak Ajinomoto je, saya
tambah Milo baru ekstra lazat makanan tu.
"Tapi saya ni bukan la
terlalu kronik sangat sampai kena ada Milo baru boleh makan, saya cuma tambah
Milo dalam makanan apabila dekat rumah atau di kedai saya, tempat yang saya
selesa.
"Tidak la semua tempat dan
setiap masa saya buat begini, hanya orang terdekat je tahu tentang relationship
saya dengan Milo ni," kata Wan yang sudah hampir dua tahun bekerja di
restoran Mug Mug.
Kejutan hari jadi untuk Wan yang sungguh tidak disangka.
Menurut Wan yang keberatan
mendedahkan usia sebenarnya, dia mencampurkan Milo ke dalam makanan secara
rambang termasuklah nasi campur.
Ketika menyentuh soal kesihatan,
Wan mengakui timbul kerisauan jika pengambilan Milo secara melampau itu boleh
mengakibatkan risiko penyakit seperti kencing manis.
"Disebabkan saya suka makan
Milo je, saya cuba hadkan pengambilan manisan lain atau makanan dan minuman
yang tinggi gula, saya nak imbangkan semula.
"Saya juga melakukan senaman
secara berkala supaya gula dan lemak berlebihan daripada Milo tu boleh dibakar.
Kesihatan tetap perlu diutamakan," kata Wan.
0 Comments