Berikutan faktor cuaca tidak menentu terutama hujan setiap hari, pelawak dan pelakon veteran iaitu Mat Sentol, 90, kurang sihat sejak beberapa hari lalu, namun kini dalam keadaan stabil.
Meskipun kini terbaring, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abd Rashid Yahaya, tetap bertenaga kerana masih berselera makan dan dijaga dengan baik serta teliti pada aspek pemakanan oleh anak lelakinya, Roslee Rashid, 61.
Ketika dihubungi, Roslee menjelaskan, dia amat menjaga pemakanan harian bapanya itu dengan memastikan penyediaan makanan berkhasiat yang dapat membentuk tenaga dan menolak hidangan berminyak.
Tambahnya lagi, dia juga memasak sendiri hidangan untuk bapanya dengan menggunakan produk-produk makanan berkhasiat seperti minyak omega yang dilengkapi vitamin.
"Bapa saya sekarang sangat berumur dan uzur. Jadi, saya kena pastikan pemakanan hariannya berkhasiat agar dia ada tenaga menggerakkan badan walaupun terbaring. Alhamdulillah, setakat ini kesihatannya okay.
"Cuma, faktor cuaca tidak menentu akibat hujan setiap hari ketika ini, bapa ada kurang sihat sedikit. Tapi, dia masih mahu makan dan saya masakan hidangan sesuai mengikut saranan pakar pemakanan.
"Saya pastikan bapa makan sayur-sayuran, ikan, roti tanpa yis, sup tulang yang diambil sup saja campur nasi, kemudian kisar hingga lumat. Semua makanan bapa kena kisar dulu untuk mudah dimakan.
"Setakat ini, selera makan bapa saya sangat bagus terutama suka makan pisang dikisar. Saya juga pastikan bawa bapa keluar bersiar-siar kerana dia suka jalan-jalan dan tak mahu berkurung di rumah saja," tuturnya.
Sementara itu, ditanya pula mengenai kewangan, Roslee memberitahu, bapanya ada menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500.
Selain itu, kata Roslee, barangan keperluan kesihatan seperti susu formula, vitamin, lampin pakai buang dan sebagainya diperoleh daripada Baitulmal.
"Setakat ini, bantuan yang diterima bapa saya daripada JKM dan Baitulmal sangat membantu kami. Malah, kalau ada kurang pun (kewangan) saya sendiri akan usaha cari untuk tambahan kerana rezeki Allah sangat luas.
"Walaupun keadaan saya ini boleh dikatakan 'warga emas jaga warga emas', saya okay dan rasa masih kuat lagi demi bapa saya. Sebagai anak, saya akan usaha memberi keselesaan kepadanya.
"Jadi, soal bantuan sebenarnya saya tidak mahu meminta-minta. Kalau ada pihak nak beri sumbangan untuk bapa, saya terima, jika tiada, tidak mengapa sebab faham situasi ekonomi sekarang.
"Tapi, setakat ini bantuan bapa saya terima daripada kerajaan, manakala menerusi persatuan seni rasanya belum ada lagi, termasuk pencen daripada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), bapa saya bukan penerima," katanya.
Terdahulu, Mat Sentol cukup dikenali sebagai pelawak dan pelakon sejak era 1950-an serta pernah membintangi beberapa filem antaranya 'Mat Tiga Suku', 'Mat Bond', 'Mat Toyol', 'Mat Karong Guni' dan 'Mat Magic'.
Seniman berkaliber yang kini menetap di Larkin, Johor, itu juga pernah aktif menyumbangkan suaranya dalam penyiaran iklan televisyen dan radio seperti Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo.
0 Comments