PENYANYI dan komposer Amylea Azizan mendedahkan sudah
bergelar isteri kepada seorang anggota bomba asal Singapura.
Majlis pernikahan Amylea dan suami
iaitu Mohammad Aqbar Mohamad atau Ash, 40, berlangsung di kediaman keluarganya
di Kedah namun memilih merahsiakan tarikh sebenar mereka disatukan sebagai
suami isteri.
Bersyukur sudah bergelar isteri, Amylea, 37, memberitahu dia juga
tidak menyangka perkenalan dalam tempoh singkat membawa mereka ke fasa
seterusnya.
"Dalam fikiran saya yang tidak bersedia untuk mendirikan rumah tangga
dalam masa terdekat ini, tiba-tiba kini sudah bergelar isteri.
"Perkenalan saya dengan Ash
pun melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu. Bila dah selesa berkawan,
Ash terus melamar saya.
"Selepas berdoa dan buat
solat istikharah, ada petanda baik yang berlaku... Kemudian dia terus berjumpa
keluarga saya. Alhamdulillah, saya tak pernah setenang ini sejak Ash hadir
dalam hidup saya," katanya menerusi satu kenyataan kepada media pada
Isnin.
Pada majlis pernikahan itu, Amylea
menerima mas kahwin berupa senaskah al-Quran dan telekung serta hantaran
berjumlah RM8,888.
Pasangan ini juga akan diraikan
dalam sebuah majlis resepsi pada 27 Januari tahun depan.
Istimewa sempena hari bahagianya
itu, Amylea turut tampil dengan sebuah lagu baharu berjudul Panji Putih Buat
Pangeran yang didedikasikan buat Ash.
"Lagu ini berkisarkan
kedegilan hati saya yang merasakan hidup ini seperti sudah berakhir. Panji
Putih itu diibaratkan seperti saya mengalah (bendera putih).
"Manakala Pangeran pula
sebagai tanda Ash sebagai orang barisan hadapan yang kerjanya saya hormat dan
pandang tinggi," ujarnya.
Sementara itu pasangan ini
terpaksa melalui fasa hidup pasangn jarak jauh disebabkan tuntutan kerja Ash
sebagai anggota beruniform di negara kelahirannya itu.
Bagi Ash sebagai suami, dia
sendiri akan berusaha agar mereka dapat tinggal bersama.
"Amylea faham dengan situasi
ini dan kami sedang mencari jalan bagaimana untuk tinggal sekali.
"Hubungan ini berlaku terlalu
pantas. Saya jugak tidak sangka perkenalan singkat kami ini diakhiri dengan
penyatuan cinta yang indah. Kami just go with the flow," jelasnya.
0 Comments