Hamdan Senario terpaksa ditidurkan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru- Mohon Doa Semua

Hamdan Senario terpaksa ditidurkan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru- Mohon Doa Semua





 Anggota kumpulan Senario, Hamdan Ramli, 54, terpaksa ditidurkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah.

Anak bongsunya, Nur Natasya Umairah, 20, berkata bapanya dibawa ke hospital kerana mengalami cirit-birit sejak semalam.

"Ayah mengalami cirit-birit sejak semalam dan keadaannya masih sama pada jam 10 pagi tadi.

Jadi, kami bawa ke hospital kira-kira jam 11 pagi sebelum doktor ambil darah.

"Kemudiannya, ayah tiba-tiba cakap tak boleh bernafas dan minta panggil doktor untuk berikan oksigen selepas empat jam menunggu.

"Selepas pemeriksaan lanjut, doktor maklumkan ayah terpaksa ditidurkan kerana jangkitan kuman dalam darahnya tinggi," katanya.

Bagaimanapun, Nur Natasya berkata, bapanya dalam keadaan stabil, namun masih tidak pasti berapa lama perlu ditidurkan.

"Sebelum ini, ayah memang okay (tiada sakit), tapi doktor kata kuman dalam darah tinggi sebab itu ayah perlu ditidurkan. Darah ayah juga rendah dan jantungnya lemah.

"Doktor kata, walaupun ditidurkan, tapi ayah masih stabil. Tak tahu lagi berapa lama ayah perlu ditidurkan.

"Sekarang, kami sekeluarga ada dengan ayah di hospital dan akan menjaganya secara bergilir," katanya.

Pada masa sama, Nur Natasya memohon orang ramai menitipkan doa supaya ayahnya dapat kembali pulih seperti biasa.




"Saya mohon sangat doakan kesihatan ayah. Kami sekeluarga betul-betul memerlukan doa anda semua," kata Nur Natasya yang gagal menahan sebak.

Semalam, Hamdan atau nama sebenar, Ahmad Hamdan Mohamed Ramli bertandang ke Johor Bahru, Johor bersama anggota Senario lain untuk menjayakan acara Wonderful Night with Senariounion, malam ini.




Akibat masalah kesihatan menimpa sehingga terpaksa ditidurkan di hospital, Nur Natasya memaklumkan, acara berkenaan akan berlangsung tanpa bapanya.

Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments