MELAKA : Seorang pemilik syarikat jahitan pukal berasal dari Kemboja dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan dan memulakan komunikasi video jelik mendakwa orang Melayu sebagai malas di media sosial, bulan lalu.
Tertuduh, Mariyah Yaakob, 47, pada mulanya teragak-agak ketika disoal jurubahasa sama ada faham atau tidak pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu kepadanya dan terpaksa dibantu peguamnya, Kamal Hisham Jaafar.
Dia yang berada di kandang pesalah kemudian mengangguk faham dan menjawab ‘tidak mengaku bersalah’ di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan, Mariyah didakwa menggunakan aplikasi TikTok dan membuat suatu penyataan iaitu “… so ada apa-apa, kalau orang Kemboja memang pandai meniaga kan, betul tak? dan orang Kemboja memang rajin, nak dibandingkan dengan orang Melayu, malas…” dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu, pada jam 6 petang, 16 November lalu.
Rakaman itu kemudian ditonton di sebuah rumah di Bukit Piatu, Kampung Musai, di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, anaknya, Ezuan Hafsham Mohd. Hisyam, 22, yang juga Pengarah Mariyah Holding turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan secara sedar menggunakan aplikasi TikTok di alamat sama dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya mengatakan kenyataan jelik itu antara 14 hingga 16 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Dia juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwa Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin warga Malaysia.
Beliau turut memohon pasport kedua-dua tertuduh diserah kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai selain perintah mahkamah supaya tertuduh atau mana-mana pihak tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan kes itu hingga mengganggu perbicaraan.
Peguam Kamal Hisham bagaimanapun memohon jaminan rendah atas alasan jaminan dikenakan terlalu tinggi seolah-olah satu hukuman sedangkan anak guamnya belum didapati bersalah.
Katanya, pasport amat penting dan mustahak memandangkan Mariyah seorang ahli perniagaan yang kerap berurusan di luar negara manakala Ezuan Hafsham belajar di University of Reading di United Kingdom.
Hakim kemudian membenarkan Mariyah dan anaknya masing-masing diikat jamin RM15,000 dan RM10,000 berserta syarat dipohon pendakwaan.
Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 12 Januari depan.
0 Comments