Lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan jadi tumpuan polis

 


Petaling Jaya: Lokasi penemuan mayat kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini, terus menjadi tumpuan pada hari kelima siasatan dijalankan.


Beberapa pegawai dan anggota polis dilihat hadir ke lokasi kejadian dipercayai bagi meneruskan siasatan dan mencari bukti baharu, hari ini.



Bagaimanapun sekumpulan pengamal media yang membuat liputan dihalang berada berhampiran lokasi dipercayai bagi tidak mengganggu proses siasatan dijalankan.


Semalam, beberapa anggota pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor datang ke kediaman Zayn Rayyan pada jam 4.15 petang dengan membawa kotak.


Empat beg kertas dilihat dibawa keluar pasukan forensik selepas pemeriksaan dijalankan di kediaman berkenaan.


Polis turut menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah stor simpanan yang terletak kira-kira 50 meter dari Blok R itu.


Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, polis sudah mengambil 228 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) menerusi ujian DNA beramai-ramai penduduk.


Beliau berkata, polis juga mengambil keterangan 28 lagi individu bagi membantu siasatan berkaitan kes bunuh kanak-kanak itu.

Post a Comment

0 Comments