Frank Swettenham ada menulis tentang harimau jadian dalam ‘Malay Sketches’ terbitan 1895, di mana beliau kata masyarakat Kerinchi (padanya ditulis sebagai ‘Korinchi’) dari Sumatera ada ilmu luar biasa iaitu mampu menukar diri menjadi harimau. Swettenham berkata bahawa ilmu ini digunakan segelintir orang yang ada kurniaan ilmu harimau jadian untuk membalas dendam atau melakukan khianat ke atas sesiapa yang ingin mereka cederakan atau bunuh.
Alexander Hamilton pada tahun 1930 kata di dalam bukunya yang berjudul ‘A New Account of the East Indies’ bahawa sekitar abad ke-18, mendapati bahawa terdapat dari kalangan orang Melayu Minangkabau yang menguasai ilmu menunduk dan menunggang harimau.
Maka seperti yang umum ketahui, masyarakat awal di wilayah-wilayah awal tanah Adat Perpatih, lama sebelum Negeri Sembilan wujud, kawasan ini didatangi dan dibuka oleh Melayu dari Sumatera, khususnya Minangkabau.
Masyarakat Kerinchi dari Sumatera (Sekadar gambar hiasan)
Warisan keberadaan mereka di atas tanah beradat ini selain membawa legasi Adat Perpatih untuk diasimilasikan dengan penduduk asal orang asli di sini, turut membawa bersama mereka ilmu-ilmu hutan, perubatan, persilatan termasuklah ilmu-ilmu ghaib, sihir atau magis yang hingga sekarang masih sukar diperjelaskan dengan sains serta logik akal.
Di Seremban (dahulu dikenali sebagai Sungai Ujong) ada sebuah mukim yang dinamakan Paroi. Nama Paroi ini pula dikatakan berasal dari nama Tok Paroi, seorang pimpinan tersohor masyarakat dagang yang juga kebetulan datang dari Minangkabau, Sumatera.
Beliau bersama juak-juaknya adalah antara kelompok Melayu terawal dari Minangkabau yang membuka penempatan di Sungai Ujong dan Johol ketika itu, bermula lama dan dipercayai sezaman dengan kesultanan Melayu Melaka lagi.
Antara kisah Tok Paroi yang paling menarik ialah kisah tentang ketinggian ilmu ghaib beliau yang mampu menjelma sebagai harimau jadian. ‘Urban legend’ yang dikenali sebagai lagenda Harimau Tok Paroi ini sebenarnya telah wujud sejak turun temurun, diperturunkan oleh orang tua-tua untuk menakutkan anak-anak mereka yang keluar malam atau pulang lewat senja.
Malah ada juga diceritakan bahawa Tok Paroi selain mampu menjelma sebagai harimau, beliau juga mampu membesar sehingga lebih tinggi dari pokok meranti yang paling tinggi di dalam hutan Gunung Angsi.
Winstedt sendiri ada menulis tentang kisah Harimau Tok Paroi ini di dalam artikel beliau berjudul ‘Karamat’ pada para 16 berkenaan ‘Karamat of Paroi’ di dalam Royal Asiatic Society, Journal Malayan Branch Vol II Part III, padanya Winstedt menyatakan bahawa ketika beliau menulis berkenaan lagenda tersebut, rata-rata masyarakat Negeri Sembilan mempercayai akan kewujudan Harimau Tok Paroi dan bagaimana ia dipuja masyarakat setempat.
Beliau bahkan turut mengatakan bahawa Tok Paroi juga merupakan tuan kepada semua harimau jadian yang mendiami hutan di sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Utara Johor pada masa itu.Pendeta Za’aba, sasterawan negara yang berasal dari Negeri Sembilan merekodkan empat kisah khusus berkenaan ‘Harimau Tok Paroi’ ini.
sekadar gambar hiasan
Antara kisah paling popularnya ialah bagaimana wujudnya Bukit Putus.
Kisah terakhir yang dinukilan oleh Za’aba ialah bagaimana Tok Paroi menghalau dan mengerjakan musuhnya, harimau berantai Dato’ Gunung Ledang. Adalah diketahui, bahawa kedua puak ini memang sudah lama bersengketa, namun Za’aba memetik kisah tentang suatu ketika diketahui tentang pertembungan dan perlawanan antara keduanya.
Pada suatu masa ketika, seekor harimau berantai milik Dato’ Gunung Ledang ini telah terlepas dan melakukan kerosakan dan onar di dalam kawasan Bukit Putus, kawasan milik Tok Paroi sendiri. Perbuatan harimau itu begitu teruk sekali hingga tidak boleh diterima.
Harimau itu kemudiannya dikerjakan oleh harimau Tok Paroi dengan teruk hingga cedera parah dan patah riuk, namun masih hidup untuk kemudiannya pulang dan mengadu dengan tuannya, iaitu Dato’ Gunung Ledang.
Selepas berang usai mendengar sendiri dari dan melihat kecedaraan parah yang dialami anak buahnya itu, Dato’ Gunung Ledang membawa sendiri beberapa ekor harimau berantai miliknya dari Gunung Ledang untuk kononnya untuk turun mencari bagi membalas dendam terhadap Tok Paroi di Bukit Putus dan Gunung Angsi.
Dipendekkan cerita, kumpulan Dato’ Gunung Ledang itu bertemu dengan apa yang ditulis Za’aba sebagai seekor kucing hutan seraya ditanya adakah dia tahu akan kedudukan dan keberadaan Tok Paroi.
Kucing hutan tersebut ditulis olehnya bukan sahaja tidak menjawab soalan yang ditanya, malah mempersoalkan pula kehadiran mereka ke kawasan Tok Paroi itu. Berang dengan perlakuan kucing hutan tersebut, Dato’ Gunung Ledang mengherdiknya sebelum menceritakan tujuan sebenar mereka yang datang dari Gunung Ledang untuk mencari Tok Paroi.
Mendengarkan hasrat jahat Dato Gunung Ledang itu, tanpa disangka-sangka kucing hutan tersebut telah menjelmakan dirinya menjadi seekor harimau besar, iaitu menjadi Harimau Tok Paroi yang dicari-cari. Harimau itu mengaku bahawa beliaulah Tok Paroi malah dengan garang dan beraninya mencabar Dato’ Gunung Ledang dan konco-konco harimau berantainya.
Harimau Tok Paroi kemudiannya terus membesar dan mengejutkan musuhnya itu telah menjelma dengan sangat besar sehingga dikatakan bahawa perutnya sahaja terletak betul-betul di atas pohon Meranti di dalam hutan tersebut. Jelmaan Harimau Tok Paroi itu terus menakutkan semua harimau berantai yang ada. Namun atas arahan Dato’ Gunung Ledang, seekor demi seekor harimau berantai itu menyerang Tok Paroi. Apabila mendapati bahawa serangan ke atas Tok Paroi tetap tidak mendatangkan sebarang kesan, mereka mula menyerang secara serentak pula.
Melihatkan gerakan itu, Tok Paroi berhenti dari mempertahankan diri dan terus menyerang kembali semua harimau berantai yang ada. Seekor demi seekor harimau tumbang menyembah bumi, malah saki baki harimau yang kemudiannya lari dihambat pula oleh Tok Paroi, dengan apa yang dinyatakan oleh Za’aba “Bagai kucing mengejar tikus lagaknya!”.
Tempat pertempuran lagenda antara Tok Paroi dan harimau berantai dari Gunung Ledang itu menjadikan kawasan bukit itu terputus di tengahnya, membentuk apa yang hari ini dikenali sebagai Bukit Putus, bukit yang memisahkan daerah Seremban dengan Kuala Pilah.
Kisah tentang kehebatan Harimau Tok Paroi ini walau bagaimanapun turut membebankan beliau sendiri apabila makam beliau suatu ketika dahulu pernah menjadi mangsa pemujaan oleh orang ramai dari semua bangsa dan agama. Mereka ini datang dari segenap pelusuk negeri, semata-mata untuk pemujaan, memohon hajat dan untuk mendapatkan habuan apa yang digelar mereka sebagai Keramat Tok Paroi.
Kredit: Bani Jawi Nusantara
0 Comments