SHAH ALAM: Suasana Mahkamah Tinggi di sini hari ini bertukar pilu sebaik isteri kepada pengurus bank, Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir, Qistina Ayu Rozhan selesai membacakan kenyataan impak mangsa.
Qistina Ayu Rozhan, 32, menitiskan air mata ketika berkongsi kisah hidupnya bersama anak perempuan yang masih kecil tanpa kehadiran si suami.
Katanya setiap hari dia meratapi pemergian suami dan membayangkan bagaimana sepatutnya kehidupan keluarganya sekiranya Allahyarham masih ada bersama.
Malah sentiasa memikirkan nasib anak yang berusia empat tahun dan masih tidak memahami apa maksud sebenar kehilangan insan tersayang.
Qistina Ayu yang juga kakitangan bank berkata, anaknya, Sharifah Dian Malika tahu bahawa arwah ditempatkan di syurga.
Namun, katanya, kenyataan itu tidak menghentikan anaknya itu daripada terus tertanya-tanya di mana sebenarnya bapanya serta kenapa tiada bersama keluarga, sedangkan rakannya yang lain semuanya bersama bapa mereka.
“Anak berharap arwah masih hidup supaya boleh bermain dengannya sepanjang hari. Anak akan terus lagi tertanya-tanya apabila dewasa dan berhadapan situasi kematian bapanya.
“Malah, satu perkara yang menyayat hati untuk saya gambarkan kerana pada satu hari nanti, saya perlu memberitahu perkara sebenar kepada anak kenapa bapanya meninggal dunia pada usia muda,” katanya.
Syed Muhammad maut berikutan kejadian amuk membabitkan bekas pekerja teknologi maklumat (IT), Yew Wei Liang, di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), empat tahun lalu.
Qistina Ayu berkata, perlu ada keadilan demi Sharifah Dian Malika terhadap apa yang berlaku kepada suaminya dan untuk mengetahui kematian Syed Muhammad Danial tidak sia-sia.
“Anak akan mencari maklumat di internet pada tahun mendatang dan mengetahui mengenai kematian bapanya, kerana perkara dalam internet kekal selamanya.
“Adalah menjadi legasi saya untuk meninggalkan sebab yang kukuh atas kematian arwah dan keadilan sudah ditegakkan,” katanya.
Susulan kenyataan Qistina Ayu, Hakim Julia Ibrahim menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun ke atas Wei Liang, kerana menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial.
Hakim membuat keputusan itu berikutan Wei Liang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.
Pada 22 Ogos 2019, Wei Liang, 45, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atas pertuduhan membunuh Syed Muhammad Danial, 29, di PLUS pada 10 Ogos tahun sama.
Syed Muhammad Danial disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Nilai Medical Centre pada hari kejadian.
Insiden membabitkan tertuduh dengan mangsa itu tular di media sosial dan dikatakan berpunca kemalangan kecil selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan.
0 Comments