PELAWAK Hamdan Ramli dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor kira-kira jam 12.50 tengahari tadi.
Pemergian Hamdan atau Ahmad Hamdan Mohamed Ramli,54, itu dikongsikan oleh anggota kumpulan Senario iaitu Azlee Jaafar.
“Arwah meninggal dunia pukul 12.50 tengahari tadi. Jantungnya semakin merosot sejak beberapa hari lalu dan hanya 20 hingga 30 peratus saja berfungsi.
“Alat bantuan pernafasan pun tak dapat nak membantu menyokong arwah sebab terlalu lemah,” katanya sebentar tadi.
Dalam pada itu, Azlee memberitahu jenazah Allahyarham Hamdan akan di kebumikan di Ipoh, Perak.
“Saya dah pun uruskan van jenazah untuk membawa jenazah pulang ke kampung halamannya di Ipoh.
“Insya-Allah van jenazah akan bergerak dari Johor Bahru pukul 3 petang dan mungkin akan tiba di Ipoh sekitar pukul 8 malam ini,” ujarnya.
Isnin lalu, Hamdan terpaksa ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) HSA akibat jangkitan kuman selepas mengalami cirit birit dan sesak nafas.
Sepatutnya Ahad lalu, Hamdan bersama kumpulan Senario sepatutnya menjayakan persembahan Wonderful Night with Senariounion di sebuah hotel di Johor Bahru.
Ia sempena ulang tahun ke-27 Senario. Namun, Hamdan tidak dapat menyertainya berikutan deman dan terjatuh lalu dikejarkan ke HSA.
Allahyarham Hamdan meninggalkan seorang balu, Norhamalini Ahmed, 53, dan empat cahaya mata.
0 Comments