Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun menerima 12 jahitan pada kepala selepas ditendang dan dipukul dengan pelbagai objek oleh bapanya yang dikatakan mabuk di sebuah rumah di Kampung Kendong Baru, dekat Kota, di sini tengah malam tadi.
Susulan kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, polis menahan bapa mangsa, 47, yang turut mempunyai tujuh rekod jenayah di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat dan menahan suspek di hadapan rumahnya dalam keadaan mabuk.
"Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut oleh ambulans dan dijangka dirujuk ke Hospital Kuala Pilah untuk pemeriksaan lanjut pakar perubatan.
"Siasatan lanjut mendapati mangsa ditendang pada perut, lebam pada bahu kanan serta luka pada kepala dan terpaksa menerima jahitan.
."Difahamkan suspek menggunakan kerusi, raga pakaian dan besi papan seterika untuk memukul mangsa," katanya.
Bapa mangsa direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Saksi iaitu teman wanita suspek tampil beri keterangan selepas sebarkan rakaman video
Perakam video yang juga saksi kejadian remaja perempuan dibelasah bapanya sehingga mendapat 12 jahitan pada kepala, di Kampung Kendong Baru, Kota, di sini, sudah diambil keterangan.
Wanita berusia 44 tahun yang juga teman wanita suspek hadir ke Balai Polis Kota, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, ketika kejadian tengah malam Selasa lalu, wanita berkenaan merakam kejadian itu, namun dia tiada ketika polis tiba di rumah berkenaan.
"Kami sudah memanggil saksi kejadian ini yang merakam kejadian remaja perempuan berusia 17 tahun ditendang dan dipukul bapa kandungnya menggunakan raga plastik, papan seterika dan kerusi plastik," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hazri berkata, ibu bapa remaja itu sudah bercerai sejak dia berusia empat tahun dan mangsa tinggal bersama neneknya di Rantau, dekat Seremban.
"Anak keempat daripada empat beradik ini mula tinggal bersama bapanya sejak 2022. Rumah berkenaan turut didiami wanita berkenaan," katanya.
Media melaporkan remaja perempuan yang dipukul bapanya dipercayai turut menjadi mangsa rogol suspek.
Kredit: Berita Harian
0 Comments