Budak yatim piatu merayu kerja di kandang kambing dan bina rumah daripada pokok kayu untuk berteduh, kini dijaga majikan berhati mulia

Budak yatim piatu merayu kerja di kandang kambing dan bina rumah daripada pokok kayu untuk berteduh, kini dijaga majikan berhati mulia





Kisah ini diceritakan oleh seorang usahawan. Beliau merupakan penternak kambing berjaya. Semoga adik Aiman mendapat kehidupan yang sebaiknya di samping majikan yang tepat dan berhati mulia. Ikuti kisahnya.


Beberapa bulan yang lalu saya pergi ke ladang di Desaru Johor untuk memastikan hasil pembinaan kandang. Nampaknya, sudah 60% siap. Semua seperti dalam perancangan.

Saya kemudian bertemu dengan pekerja saya lalu berbincang sedikit mengenai kemajuan pembinaan.

Tiba-tiba, datang pula seorang anak muda, berjalan ke arah saya. Pakaiannya agak comot. Berumur dalam lingkungan awal 20-an barangkali. Entah dari mana.

"Boss, ada kerja kosong tak?" dia bertanya dengan selamba.
Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba muncul. Kalau iya pun, berilah salam sekurang-kurangnya.
"Awak nama siapa ya? Salam pun tidak, nama pun tak beritahu. Siapa nama awak ni??" saya bertanya dengan tegas.
"Maaf boss. Nama saya Aiman. Saya kerja di ladang kambing sebelah kampung XXX tapi majikan saya ni ambil kesempatan terhadap saya" ujar Aiman. Kesedihan mula terpancar di wajahnya.
Saya lihat air matanya berlinangan.

"Kesempatan apa tu ya?" saya bertanya untuk kepastian.
"Gaji saya cuma RM300 sahaja sebulan. Makan dan minum memang diberikan, tapi apa yang saya boleh buat dengan RM300 kan boss?" katanya.
Aduh. Tiba-tiba saya pula yang terasa pedih di ulu hati. Mana boleh hidup dengan gaji sebanyak itu? Apatah lagi, ini tidak mengikut saranan gaji minima yang ditetapkan kerajaan.

"Awak tinggal di mana? Umur awak berapa? Sanggup kerja bawah panas terik dengan kotor bolor di kandang kah?" Saya bertanya lagi, memberikannya tawaran kerja.

"Saya tiada ibu dan ayah lagi boss. Mereka tidak mahu bela saya sejak kecil lagi. Umur saya 18 tahun. Rumah saya sekadar sebuah pondok kayu yang diperbuat dari pepohon yang diambil di hutan. Saya bina sendiri rumah tu boss", kata Aiman.

Melihat Aiman ketika itu, hati saya sangat tersentuh bercampur amarah. Anak muda yang telah dilanda derita itu ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Kasihan betul saya melihatnya.

"Awak boleh menggunakan ladang ini untuk tidur, berehat, serta menikmati makanan dan minuman di sini. Saya juga akan pastikan tukang masak menyediakan makanan untuk awak sekali," saya berkata sambil menyerahkan telefon bimbit kepada Aiman agar kami dapat berkomunikasi dengan lebih mudah.


"Apa saja tugas yang tuan diberikan, saya akan buat. InsyaAllah, saya akan tunjuk prestasi kerja yang terbaik," balas Aiman dengan semangat.
Pejam celik, sudah dua bulan berlalu dan Aiman kini masih bekerja di ladang saya. Dia seorang pekerja yang rajin dan amanah.




Walaupun Aiman memiliki kecerdasan intelektual yang terbatas, dia memiliki kelebihan luar biasa dalam menjalin hubungan yang erat dan penuh kasih sayang dengan semua haiwan di ladang kami. Bagaikan aur dengan tebing.
Bukan itu sahaja, para pekerja lain seringkali berkata : "Tanpa Aiman, ladang ini terasa sepi saat dia tidak ada."

Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana menghadirkan seorang pekerja seperti Aiman dalam hidup saya.
Dia bukan sekadar pekerja, tetapi juga amanah yang perlu saya jaga. Melihat kegembiraan Aiman bekerja di ladang ini turut membuatkan saya berasa puas.
Sukar saya jelaskan perasaan ini. Saya merasakan kehadirannya merupakan berkat bagi kami semua. Kelembutan hatinya terhadap ternakan di ladang sangatlah mengagumkan.
Benar, rezeki Allah itu tak pernah salah alamat.

Semoga kisah ini memberi insprasi kepada para pembaca untuk sentiasa berbuat baik sesama insan. Pasti Allah membalasnya dengan berlipat ganda ganjaran.

Kredit: DS Ashraf Bakar

Post a Comment

0 Comments