"Datang atas urusan jual rumah rakan yang ditinggal 10 tahun, tak sangka rumah berpenghuni warga asing" - Agen Hartanah

"Datang atas urusan jual rumah rakan yang ditinggal 10 tahun, tak sangka rumah berpenghuni warga asing" - Agen Hartanah



Seorang lelaki terkejut apabila mendapati rumah kenalannya di Puchong, Selangor, yang dibiarkan kosong sejak 10 tahun lalu diceroboh dan didiami warga asing.


Lelaki terbabit yang memuat naik kisah itu menerusi akaun Facebook miliknya, Srilabu Kedah, berkata kejadian itu diketahui selepas kenalannya yang tinggal di Pantai Timur itu meminta dia menjualkan rumah jenis pangsapuri berkenaan.


Katanya, dia yang mahu menguruskan penjualan pangsapuri berkenaan terkejut selepas mendapati rumah itu didiami warga asing ketika datang meninjau kediaman itu.


"Kawan kepada sahabat saya yang tinggal di kampungnya di Pantai Timur meminta saya menjualkan unit pangsapurinya di Puchong yang dibiarkan kosong sejak 10 tahun lalu.


"Selepas menerima kunci unit itu, saya yang tinggal di Seremban 2 datang meninjau rumah berkenaan di Puchong untuk mengetahui keadaannya sebelum urusan penjualan dilakukan.


"Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati rumah itu didiami warga asing dan hal itu kemudian dimaklumkan kepada pemilik rumah yang juga terkejut dengan maklumat itu," katanya.


Lelaki terbabit berkata, warga asing yang mendiami rumah itu tidak boleh bertutur bahasa Melayu atau bahasa Inggeris menyebabkan dia tidak dapat berkomunikasi dengan mereka.


Katanya, tindakan warga asing menceroboh dan tinggal di rumah rakannya itu menunjukkan kumpulan terbabit semakin berani melakukan perkara yang bertentangan undang-undang.


"Mereka ceroboh masuk rumah orang macam itu saja, kita warga sendiri (tempatan) pun tak berani buat seperti itu.


"Bekalan air ke rumah itu diambil secara sambungan dari rumah sebelah, tetapi saya tak mengetahui bagaimana mereka mendapatkan bekalan elektrik," katanya.


Beliau berkata, dia kemudian bercakap dengan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh yang juga penyelia warga asing itu dan memaklumkan mereka sudah lama tinggal di rumah berkenaan secara percuma tanpa gangguan sesiapa.


Katanya, paling mengejutkan apabila warga asing terbabit memintanya menunjukkan bukti rumah itu adalah milik rakannya.


"Mereka minta bukti benarkah rumah ini milik rakan saya. Apa nak jadi dengan Malaysia sekarang?


"Saya sudah minta pemilik rumah membuat laporan polis dan saya sendiri juga akan melaporkan kes ini kepada pihak imigresen.


"Saya minta anda semua kongsikan cerita ini, kita nak semua orang peka terutama mereka yang ada rumah kosong kerana bimbang ia diceroboh dan didiami warga asing," katanya.

Post a Comment

0 Comments