"Duit saya sudah kosong" - Apa sudah jadi dengan Nas Ahmad ? Wartawan Melodi popular satu ketika dulu

"Duit saya sudah kosong" - Apa sudah jadi dengan Nas Ahmad ? Wartawan Melodi popular satu ketika dulu


"Duit saya sudah kosong. Bila terpaksa berhenti kerja sebab tidak larat, memang tiada pendapatan lagi. Tapi, Alhamdulillah ramai yang menghulurkan sumbangan."


Demikian luahan bekas wartawan program hiburan popular, Melodi iaitu Nas Ahmad, 62, yang kini tidak lagi mampu bekerja akibat masalah jantung dihidapi sejak 2022 sehingga memberi kesan kepada kewangannya.




Nas atau nama sebenar, Md Nasir Ahmad bagaimanapun bersyukur masih ada isteri dan anak-anak yang menguruskan perbelanjaan hariannya termasuk membiayai kos perubatan di hospital, setiap bulan.


"Saya sudah tiada punca pendapatan, harapkan bantuan anak isteri dan yang lain-lain sahaja. Kalau diikutkan, saya tak mahu berehat sebab memang suka bekerja.


"Tapi sekarang terpaksa sebab saya cepat penat dan kadang-kadang perlu menggunakan kerusi roda," katanya ditemui pada majlis pelancaran program Kembara Showcase Amal Madani Jiwa Malaysia di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam, baru-baru ini.


Dalam perkembangan lain, Nas yang popular dengan jolokan Abang Nas Terjah iaitu mengikut segmen kendaliannya dalam Melodi memberitahu, dia akan menjalani rawatan angiogram untuk merawat masalah jantung di Hospital Serdang pada Mac depan.


Nas berkata, dia sepatutnya menjalani rawatan berkenaan pada awal bulan ini, namun terpaksa ditangguhkan kerana keputusan ujian darah terlalu cair.




"Selepas buat pemeriksaan, doktor dapati darah saya cair dan tak ikut piawaian sepatutnya, jadi bila buat pembedahan akan berlaku pendarahan yang banyak dan susah hendak berhenti.


"Untuk buat rawatan ini darah kena pekat. Sekarang saya perlu ambil ubat untuk pekatkan darah, mungkin Mac barulah dapat buat rawatan ini," katanya.


Ditanya mengenai penganjuran program Kembara Showcase Amal Madani Jiwa Malaysia yang bertujuan mengumpul dana untuk membantunya dan individu lain, Nas bersyukur kerana masih ada pihak sudi membantu.


Katanya, program dianjurkan bekas penyampai radio, Datuk Syaiful Bahrim atau DJ Pool itu sedikit sebanyak meringankan bebannya.


"Saya ada dimaklumkan oleh penganjur dan hadir ke majlis sidang media ini atas undangan. Penganjur juga sanggup menjemput saya di rumah.


"Hanya ucapan terima kasih mampu saya titipkan kepada semua pihak yang sudi membantu saya," katanya.


Berita mengenai kesihatan Nas mula diperkatakan selepas pengacara popular, Ahmad Fedtri Yahya membuat perkongsian dalam laman sosial mengenai sahabatnya itu pada Januari tahun lalu.

Post a Comment

0 Comments