Gempa bumi kuat landa Jepun, amaran tsunami peringkat tinggi dikeluarkan

Gempa bumi kuat landa Jepun, amaran tsunami peringkat tinggi dikeluarkan



Gegaran yang dirasakan di bandar Echizen, wilayah Fukui susulan gempa bumi yang melanda kawasan barat Jepun hari ini, hampir sama dengan gegaran yang dirasakan ketika negara itu dilanda tsunami besar pada 2011.

Itu perkongsian seorang rakyat Malaysia, Mohd Syairir Abd Malek yang mengalami sendiri gempa bumi pada 12 tahun lepas di bandar berhampiran laut itu, dan sekali lagi mengalaminya hari ini.
Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Pengurusan Kanan Perhubungan Antarabangsa Echizen itu berkata, gegaran yang dirasakan hari ini agak lama, kira-kira 20 hingga 30 saat.
Susulan itu, katanya siren amaran tsunami dibunyikan dan penduduk di kawasan itu kini sedang bergerak ke tempat lebih tinggi dan selamat.


“Mengenai persediaan kami, selagi tidak berlaku gempa bumi besar seterusnya, Insya-Allah ia dapat diuruskan.
“Sekarang pun ramai pegawai sedang menuju ke pusat komuniti masing-masing untuk pastikan semuanya selamat.
“Kebimbangan utama adalah sekiranya berlaku lagi gempa bumi, sebelah malam nanti, bila semua dah letih, lapar.
“Jika berlaku masa itu, mungkin akan menyulitkan lagi urusan kami untuk memastikan keselamatan semua warga Echizen,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.


Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud melanda wilayah Noto di Ishikawa pada jam 4.10 petang (waktu tempatan). Noto terletak kira-kira 200 kilometer dari Echizen.
Sementara itu, agensi cuaca Jepun melaporkan 21 gempa bumi berturut-turut berukuran 4.0 magnitud telah melanda wilayah tengah negara itu dalam tempoh 90 minit.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata, ombak tsunami setinggi 1.2 meter telah melanda pelabuhan Wajima di wilayah Ishikawa pada jam 4.21 petang (waktu tempatan).
Susulan itu, Jepun telah mengeluarkan amaran tsunami peringkat tinggi di Ishikawa dan amaran peringkat rendah untuk seluruh pantai barat laut pulau Honshu.
Mengulas lanjut, Mohd Syairir berkata, agensi berita tempatan melaporkan semua perkhidmatan kereta api di kawasan itu sudah dihentikan namun jalan raya di Fukui masih dibuka dan boleh digunakan.
Menurutnya, walaupun ada amaran tsunami di bahagian laut namun bagi mereka yang tinggal agak jauh dari laut, tidak banyak kerosakan yang berlaku di sana.
Bahkan, katanya, setakat ini juga, tiada pengumuman menggesa rakyat di kawasan itu melakukan evakuasi secepat mungkin.
Kredit: BH

Post a Comment

0 Comments