Isu ayam goreng kunyit sepinggan RM20 - Pemilik restoran persoal kenapa masa bayar diam, sebelum tu siap tengok menu lagi, sekarang kenapa nak tularkan!

Isu ayam goreng kunyit sepinggan RM20 - Pemilik restoran persoal kenapa masa bayar diam, sebelum tu siap tengok menu lagi, sekarang kenapa nak tularkan!

 


Langkawi: Pemilik restoran di Pantai Chenang di sini, yang didakwa mengenakan caj RM20 untuk hidangan sepiring ayam goreng kunyit mempersoalkan tujuan sebenar pelanggan terbabit menularkan perkara itu.


Zulfan Bustami, 43, berkata, ketika mengambil pesanan pelanggan wanita terbabit, pekerjanya sudah menunjukkan buku menu, dan tertera dengan jelas harga ayam goreng kunyit adalah RM20.


"Dia sendiri lihat harga (makanan) dalam buku menu ketika buat pesanan, masa bayar di kaunter tak cakap apa pun sebelum berlalu pergi, kemudian tularkan di media sosial yang mengundang persepsi negatif, apa motif?


"Saya tiada di restoran ketika kejadian, cuma tahu perkara itu selepas dimaklumkan pekerja mengenai gambar makanan dan resit berjumlah RM24 tular di media sosial," katanya ketika ditemui di restorannya di sini, hari ini.



Zulfan berkata, dia mengesyaki isu itu tidak ditularkan oleh pelanggan itu sendiri, sebaliknya ia ditularkan oleh orang kedua, sama ahli ahli keluarga atau rakannya yang mahir dalam penggunaan media sosial.


"Semakan mendapati pelanggan terbabit datang ke restoran saya pada Sabtu lalu bersamaan dengan tarikh resit bayaran dan gambar makanan, manakala gambar kedai yang ditularkan itu pula diambil pada keesokannya (Ahad).


"Pelanggan terbabit adalah orang tempatan dan sepatutnya dia sedia maklum harga makanan di sekitar Pantai Chenang tinggi sedikit berbanding kawasan lain, ini disebabkan kadar sewa kedai juga tinggi di kawasan ini," katanya.


Peniaga itu berkata, saiz hidangan ayam goreng kunyit berharga RM20 itu juga sesuai dimakan dua orang kerana menggunakan 160 gram isi ayam, sayur, lobak, salad, kacang panjang dan bawang Holland.


"Saya berusaha menghubungi pelanggan terbabit menerusi ruangan sembang Messenger di Facebook untuk berbincang, pada masa sama sedia berjumpa dan memohon maaf atas kejadian itu, tapi dia mengelak.


"Kedai saya juga sudah dikunjungi penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk melakukan pemeriksaan dan menyerahkan notis kira-kira 12 tengah hari semalam," katanya.


Sumber: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments