Bekas penyampai radio Suria FM, Tyzo Xender, 47, menepis dakwaan 'rating' segmen Suria Petang menunjukkan penurunan, sebaliknya Suria Cinta yang dikelola oleh DJ Lin pada waktu malam berada di kedudukan terbawah.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Tyzo atau nama sebenar,Tuah Zolqarnain berkongsi carta 'rating survey' pertama dan kedua bagi segmen pagi, siang, petang dan malam di stesen radio itu pada tahun lalu.
"Kecoh sangat pasal 'rating', biarlah gambar berbicara.
"Ini data 'rating' jumlah pendengar," tulisnya yang menunjukkan segmen petang mencatat 1.73 juta pendengar pada 'survey' pertama dan 1.56 juta bagi tempoh kedua.
Tyzo bagaimanapun bersyukur segmen Suria Petang kendaliannya bersama Sharifah Shahirah atau Kak Rara juga menunjukkan peningkatan bagi tahun 2022 dan 2023 lalu sepanjang empat kali 'rating survey'.
"Alhamdulillah bagi tahun 2022 hingga 2023, Suria Petang berada di tangga teratas segmen, sepanjang 4 kali survey berturut-turut.
"Gambar tersebut dibentang dan ditulis tangan sendiri di Whiteboard oleh GM (Pengurus Besar). Sekian," tulisnya lanjut.
Melihat pada carta dikongsikan itu, memang jelas 'rating survey' segmen Suria Cinta oleh DJ Lin menunjukkan penurunan iaitu 1.47 juta pendengar pada 'survey' pertama dan 1.11 juta bagi tempoh kedua, tahun lalu.
Segmen pagi mencatat 'rating survey' sebanyak 1.70 juta pendengar pada 'survey' pertama dan 1.53 juta bagi tempoh kedua. Manakala, segmen siang pula sebanyak 1.68 juta pada 'survey' pertama dan 1.42 juta bagi tempoh kedua.
Meninjau ke ruangan komen pula, pendedahan dibuat Tyzo itu amat menarik perhatian netizen yang menyifatkan dia bertindak berani kerana benar.
"Bagus. Jangan biar diri dipijak dan dihina," komen warganet.
"Saya lebih percaya orang yang bercakap menggunakan data," tulis netizen.
"Segmen paling tinggi yang kena buang," komen wargamaya.
Pada sidang media baru-baru ini, Pengerusi Star Media Radio Group (SMRG), Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse berkata tiada sebab untuk DJ Lin dipecat kerana dia menunjukkan prestasi yang bagus dan berjaya kekalkan 'rating' tertinggi setiap minggu.
Kredit:Berita Harian
0 Comments