Kisah Benar: Rumah askar Jepun seksa orang pada zaman Perang Dunia Kedua

Kisah Benar: Rumah askar Jepun seksa orang pada zaman Perang Dunia Kedua


Tadi ada seorang kawan hantar foto sebuah banglo lama kepada saya. Banglo dua tingkat itu kini sudah berusia hampir 100 tahun. 


Semasa sangat muda dulu, saya pernah tinggal di sebuah banglo setingkat yang jaraknya cuma 50 meter dari banglo dua tingkat tersebut. Kerana jarak antara banglo dua tingkat dan banglo setingkat saya tinggal begitu dekat, saya kerap ke banglo dua tingkat itu.


Banglo dua tingkat dalam foto di atas pernah diduduki oleh bekas boss saya, Encik Nick. Banglo dua tingkat tersebut merakam begitu banyak kenangan kepada saya. Yang paling tak dapat dilupakan ialah satu kisah misteri yang pernah berlaku di situ. Baca kisahnya di bawah:


𝐈𝐁𝐋𝐈𝐒 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐀𝐋𝐌𝐀𝐑𝐈


Tengah hari itu seperti tengah hari Jumaat lain, aku ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat. Cuma hari itu ada beberapa hal besar di ofis berlaku yang menyebabkan aku agak terlewat sampai ke rumah. 


Sampai saja aku di rumah, Joe dan Min sudah pun bersiap dengan baju Melayu masing-masing untuk ke masjid. 


Kerana sudah sedikit terlewat, aku cuma mandi-mandi kerbau. Mandi sekadar untuk menghilangkan bau tengik peluh semasa turun buat inspection di tapak projek pagi tadi. 


Aku mencari selipar untuk dipakai ke masjid. Tetapi puas dicari namun selipar masih tidak dijumpai. Pergi mana selipar buruk aku itu? 


“Ni mesti kerja Reezal ni. Hantu betoi,” kata aku kepada Min dan Joe yang sedang menunggu dalam kereta dengan wajah gelisah kerana kelewatanku.


Reezal ialah anak bongsu bos kami, Encik Nick. Encik Nick dan keluarganya tinggal di sebuah banglo dua tingkat yang letaknya cuma 50 meter dari banglo setingkat yang kami duduki. Budak lelaki berhidung mancung dan berkulit cerah berusia lima tahun itu sangat nakal. Dia tidak boleh duduk diam, macam budak-budak hyperaktif! 


Reezal kerap datang ke rumah kami dengan basikal BMXnya. Mungkin dia rasa lebih serasi dengan kami yang berusia awal 20an, berbanding rumah-rumah lain atas bukit kecil itu yang dihuni mereka yang sudah pun berkeluarga. Sebab itulah kot Reezal suka menjenguk ke rumah kami.


Bila datang ke rumah, biasanya Reezal terjah sahaja masuk rumah, macam rumah ibu bapak dia sendiri. Kemudian dia akan sepahkan majalah atas rak di ruang tamu, kadang-kadang masuk ke dapur dan bilik tidur ikut suka hati dia sahaja. Pernah juga selepas kami jamu makan dia terlena kekenyangan atas sofa. 


Salah satu hobi Reezal yang aku paling naik angin ialah sengaja buat benda-benda yang kami tidak suka. Selipar disembunyikan, letak bata bawah tayar kereta, sepah-sepah barang di ruang tamu dan baling mainan atas bumbung rumah adalah antara benda kegemarannya untuk sakitkan hati kami. 


Sekarang selipar aku hilang lagi dalam keadaan kritikal mengejar masa untuk solat Jumaat! 


Tengah hari Jumaat itu aku rugi 7-8 minit jugalah untuk mencari selipar yang hilang. Akhirnya jumpa juga selipar itu di dalam longkang belakang rumah. Ini mesti kerja Reezal!


Sebaik menyarung selipar pada kaki, aku bergegas masuk ke dalam kereta yang dipandu Min untuk ke masjid.


Ketika kereta kami bergerak di selekoh untuk keluar ke jalan besar, ternampak kelibat seorang budak sedang bersembunyi di balik pokok ara besar di pinggir jalan. Tengok sekali lalu pun semua kami sudah kenal siapa budak itu. Reezal! 


Bila melepasi pokok besar itu, terdengar suara ketawa kecil dari belakang. Seronoknya hati dia dapat menyusahkan aku tadi! 


“Budak ni... aku sumpah jadi batu baru tau!” kata aku. 


“Lebih baik hang sumpah jadi porche ka, lamborghini ka, boleh la aku sesekali pakai kereta hang,” usik Min. 


“Kalau aku, aku nak sumpah budak tu disembunyikan hantu atas pokok besar tu. Biar dia tak kacau lagi kita lepas ni!” kata Joe dengan geram.


Ketika kami sampai di dalam masjid, imam baru memulakan rakaat kedua. Mujur baru terlepas satu rakaat, masih sempat jugalah dapat pahala solat Jumaat. Kalau sampai ke masjid imam sudah beri salam, siaplah Reezal kalau jumpa nanti! 


Petang itu lepas solat Jumaat, ketika hendak ke ofis sambung kerja sesi petang, alamak... kasut yang Min letakkan di dalam rak di luar rumah pula hilang. Wajah Reezal terbayang lagi. Masih tidak puas hati lagi ke dia mempermainkan kami?


Walaupun akhirnya kasut yang dipakai Min dijumpai juga dekat perdu pokok buluh berdekatan sempadan kubur di luar rumah kami, tetapi kami rugi masa hampir 10 minit melayan game Reezal petang itu. Aarghhh! 


Pada hari Ahad berikutnya, kira-kira pukul 9.00 pagi, ketika kami bertiga bersiap hendak keluar rumah untuk minum pagi di kedai mamak berhampiran rumah, telefonku berdering.


“Jeff! You ada nampak Reezal tak?” terdengar suara Encik Nick di dalam telefon dengan nada cemas. 


“Hari ni tak nampak pula dia. Dua hari lepas ada la dia datang rumah,” beritahu aku. “Mungkin dia pergi rumah Encik Wai kot?”. 


“I dah check dengan semua orang dekat-dekat area rumah kita. Tapi tak ada sapa pun nampak dia. Dia tak ada di rumah sejak 7.00 pagi tadi. Tapi tak apalah, I cuba cari lagi,” beritahu Encik Nick dengan suara semakin cemas. 


Petang itu, kira-kira pukul 6.00, Encik Nick telefon aku sekali lagi. Tiba-tiba mindaku teringat Reezal. 


“Reezal dah balik rumah ke Encik Nick?” Aku yang bersuara dulu sebelum Encik Nick sempat beritahu apa-apa. 


“Belum,” jawab encik Nick sepatah. “Jeff...I nak minta you, Min dan Joe datang rumah sebelum maghrib boleh tak? Nak buat bacaan Yasin sikit. Kita solat maghrib dulu di rumah I, lepas tu kita baca Yasin sikit.” 


“Insya-Allah Encik Nick. Nanti saya beritahu Min dan Joe,” aku berjanji. 


Sepuluh minit sebelum waktu maghrib masuk, kami bertiga sudah berada di halaman rumah Encik Nick. Di dalam rumah sudah ramai staf ofis kami yang berkumpul. Kelihatan juga beberapa orang kuat surau di penjuru rumah bersembang secara berkelompok. 


Tidak lama kemudian, Ustaz Rusli yang lebih dikenali sebagai Ustaz Lee, imam muda surau berdekatan pun tiba di rumah Encik Nick. Ustaz Lee yang berusia awal 30an itu memang popular di kawasan kejiranan kami. Dalam kalangan kami yang berusia awal 20an ini, dia lebih dikenali sebagai ustaz rock. Seorang yang berkulit cerah, tinggi lampai, kacak, berambut panjang hingga ke paras bahu dan lebih selesa berseluar jeans jika di luar surau, Ustaz Lee memang seorang yang sangat disenangi semua orang.


Lepas menunaikan solat maghrib secara berjemaah, Ustaz Lee mengemudikan bacaan Yasin pula dengan alunan suara yang sangat merdu. Lepas selesai bacaan Yasin, ustaz Lee teruskannya dengan bacaan doa selamat memohon Allah melindungi Reezal. Doa yang dialunkan Ustaz Lee sungguh syahdu dan melankolik mirip irama sentimental sebuah lagu cinta rock kapak terkenal. Nama Reezal diserunya mendayu-dayu berulang kali dalam doa menambahkan lagi sayu kami pada malam hening itu.


Ketika nama Reezal disebut mendayu-dayu oleh Ustaz Lee, tanpa sedar air mata jantanku menitis berderai ke kelopak. Aku dan rakan-rakan serumahku adalah antara orang yang paling benci dengan Reezal kerana perangainya yang suka menyakat kami. Tetapi kini budak yang kami benci itu sudah tiada lagi. Ke mana dia pergi?


Di dalam hati aku terbayang pelbagai andaian. Tiba-tiba terlintas mayat seorang budak lelaki comel berkulit cerah dan berhidung mancung tertiarap di tepi belukar. 


Air mataku menitik lagi... 


Menyesalnya aku kerana pernah membencinya! 


Bukankah perangai suka menyakat orang itu perangai biasa kanak-kanak seumur dengannya? Hanya budak lembam kot yang berdiri kaku tanpa reaksi? 


Ketika Ustaz Lee membacakan doa mendayu-dayu itu, cuping telingaku terdengar seperti esakan halus suara wanita di hujung ruang tamu. Mungkin ia suara isteri Encik Nick. Siapa tidak sedih dengan kehilangan anak? Aku yang tidak sukakan Reezal ini pun sedih, apa lagilah mak yang melahirkannya!


Tiba-tiba belum pun bacaan doa habis, terdengar seperti suara kanak-kanak yang bunyinya sangat jauh menerjah telingaku. Suara itu begitu halus tapi agak bergema, seolah-olah suara orang yang sedang berada di dalam gua. 


“Reezal!” jerit isteri Encik Nick sambil bingkas bangun masuk ke dalam bilik berdekatan. Serentak dengan itu Encik Nick juga bangun dan menerpa masuk ke bilik yang sama. 


Kemudian kedua-dua mereka keluar dari bilik itu menuju ke dapur. Tidak lama kemudian Encik Nick dan isteri kembali ke ruang tamu sambil memanggil “Reezal, Reezal, Reezal” berulang kali. 


Ketika itu suara seperti tangisan kanak-kanak makin jelas. Kami yang sudah pun menghabiskan bacaan doa hanya berpandangan sesama sendiri. 


“Encik Nick dah naik atas? Cuba pula periksa di bilik atas,” cadang Ustaz Lee.


“Tapi suara Reezal macam di tingkat bawah, bukan di atas,” kata isteri Encik Nick. 


“Tak apalah... cuba kat atas pula. Mana tau kalau dipermudahkan Allah,” pinta Ustaz Lee lagi. 


Encik Nick dan isteri menaiki tangga ke tingkat atas. Kami di bawah hanya berdoa ada keajaiban di tingkat atas. Tetapi di dalam hati aku tidak yakin Reezal ada di tingkat atas rumah agam itu. Tak kan pula seharian Reezal bersembunyi di tingkat atas padahal kedua ibu bapanya telah mencari dia pada setiap sudut rumah mereka sejak pagi? 


Beberapa minit kemudian kelihatan Encik Nick turun dari tangga dengan menggendong seorang budak lelaki. Bila aku teliti... ya Allah, memang betul dia Reezal! 


“Bawa ke sini budak tu,” kata Ustaz Lee sambil menghulurkan tangannya.


Ustaz Lee membaringkan Reezal di atas pahanya. Muka Reezal kelihatan pucat. Bajunya basah kuyup dipenuhi keringat. Matanya memandang kosong seperti orang keliru. Sesekali terdengar suara dia menangis dengan suara sangat lemah sambil memanggil kedua ibu bapanya. 


“Jumpa budak ni kat mana?” tanya Ustaz Lee. 


“Jumpa dalam almari kecil kosong di tingkat atas,” kata Encik Nick. “Walhal dari pagi tadi kami dah cari semua tempat tapi tak jumpa. Pelik sungguh, macam mana dia boleh terselit di dalam almari kecil kosong tu? Mengapa masa kami buka almari tu siang tadi dia tak ada pun?”


“Dalam dunia iblis ni Encik Nick, tiada istilah pelik. Iblis menutup hijab Encik Nick daripada melihat anak di depan mata. Walaupun budak ni sebenarnya tak ke mana-mana, hanya dalam almari, tapi Encik Nick tak nampak.” 


“Jadi iblislah yang sembunyikan Reezal di dalam almari?” Encik Nick minta kepastian.


“Nasib baik dalam almari, kalau dalam belukar, lagi susah nak cari,” balas Ustaz Lee. 


Ustaz Lee mengurut-ngurut tubuh Reezal sambil mulutnya terkumat-kamit membacakan doa. Air sejuk direnjis ke dahi Reezal sambil bahagian atas kepala Reezal terus diusapmya dengan lembut. 


Selepas melihat Reezal seperti sedikit pulih, Ustaz Lee menyerahkan kembali budak itu kepada Encik Nick.


“Tak dak apa-apa lagi yang perlu dirisaukan, Encik Nick,” kata Ustaz Lee sambil menyerahkan kembali Reezal kepada Encik Nick. “Cuma semangat dia belum pulih seratus peratus. Perlu sikit masa untuk dia betul-betul pulih. Dalam tempoh 3-4 hari ni jangan tanya apa-apa soalan tentang apa yang terjadi kat dia kerana ingatannya belum pulih sepenuhnya lagi. Insya-Allah lepas 3-4 hari nanti dia akan pulih sepenuhnya.” 


Keluar saja dari rumah Encik Nick, terdengar suara-suara yang membincangkan kehilangan Reezal selama kira-kira 12 jam itu. 


“Budak tu kuat sungguh. Budak lain mungkin dah jadi arwah kalau terperangkap 12 jam dalam almari,” kata satu suara. 


“12 jam ja, bukan 12 hari. Masih ada oksigen dalam almari tu. Kalau dalam kereta habislah,” kata suara lain. 


“Rumah ni aku dengar memang kuat puakanya. Rumah askar Jepun seksa orang pada zaman Perang Dunia Kedua dululah katakan. Rumah-rumah kat bawah tu pun ada juga cerita masing-masing aku pernah dengar. Eh... seramlah aku nak cerita malam-malam ni,” terdengar satu lagi suara menyampuk.


“Rumah-rumah kat bawah” yang dikatakan orang tersebut termasuk rumah kami juga kan? Kalaulah ketika itu masih siang hendak saja aku pergi tanya orang itu apa lagi cerita yang pernah didengarinya tentang “rumah-rumah kat bawah tu.” Tetapi sekarang sudah malam. Silap-silap jawapannya boleh menyebabkan aku, Joe dan Min sukar hendak pejamkan mata malam ini! 


Apabila sampai di rumah, aku dan Min mula menyakat Joe kerana Jumaat lepas dia mendoakan kehilangan Reezal. 


“Masin mulut hang Joe. Baru hari Jumaat hang doa Reezal disembunyikan hantu atas pokok, hari Ahad doa hang dimakbulkan! Mujarab sungguh doa hang,” usik Min. 


“Tu lain la. Aku doakan dia disembunyikan atas pokok, bukan dalam almari,” jawab Joe dengan wajah sedikit kesal. 


“Kalau iblis tu sembunyikan Reezal atas pokok macam hang doa lagi teruk jadinya. Kena panggil bomba pula untuk turunkan dia!” kata aku disambut ketawa Min dan Joe.


Apa pun peristiwa itu banyak mengubah personaliti Reezal. Pada minggu kedua lepas kehilangannya, Reezal mula datang semula ke rumah kami dengan basikal BMXnya. Tetapi Reezal sekarang sudah jauh berubah daripada Reezal sebelum ini. Dia tidak nakal lagi, tidak berani mengusik barang kami seperti dahulu. 


Bila aku dan kawan-kawan ofis sesekali bermain bola raga bulatan di depan halaman rumah kami yang luas itu, Reezal akan menjadi pemerhati setia memerhatikan kami bermain. Bila bola jatuh agak jauh, Reezal akan menjadi pengutip bola yang begitu berbakat. 


Bila aku mencuci kereta pada hujung minggu, Reezal sering datang dan menyibuk untuk membantu aku mencuci kereta. Kalau sebelum ini dia bukan saja tidak pernah membantu, menyakitkan hati ada lah! Pernah sekali tu dia sengaja kotorkan sedikit bahagian kereta yang baru aku cuci.


Tapi kini Reezal betul-betul sudah jadi budak baik! 


Aku pula sejak Reezal menjadi 'budak baik' sering membeli coklat Cadbury kegemaran Reezal yang aku simpan dalam peti ais. Bila Reezal datang ke rumah pasti aku akan menghulurkan sekeping dua Cadbury kepadanya, terutama perisa Black Forest yang paling disukainya. Seronok bila nampak Reezal menggigit Cadbury dengan penuh bernafsu.


NOTA KAKI:

Kisah di atas adalah petikan salah satu daripada 31 bab yang terdapat dalam novel seram saya Jangan Buka Hijabku. Jangan Buka Hijabku adalah catatan peribadi saya berdasarkan 31 kisah seram yang pernah saya alami sendiri sejak kecil hingga dewasa.


Jika korang penagih kisah-kisah seram, sila dapatkan novel seram berdasarkan kisah benar ini di kedai-kedai buku terkemuka atau melalui pembelian secara online di Shopee dan Lazada.

Kredit: Ben Jamalley TG

Post a Comment

0 Comments