Kuala Lumpur: Motif pembunuhan menjadi cabaran utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, segala usaha siasatan dari segi konvensional, saintifik dan forensik sudah melebihi 90 peratus dijalankan.
"Kita bersungguh-sungguh (dalam siasatan) dan sehingga malam ini masih ada mesyuarat yang dibuat, walaupun masih ada lagi data-data dan laporan forensik yang belum kita terima, mungkin siasatan forensik itu juga berkesudahan dengan negatif.
"(Jadi) sebenarnya kita perlu melihat kepada motif dulu, apa motif dia? Misalnya kes dadah dan cemburu atau pergaduhan kumpulan, kita tahu siapa perlu kita cari.
"Pada masa ini motif sangat penting, Rayyan berusia 6 tahun, dia tidak mempunyai musuh, cuma dia autisme dan kita tidak tahu apa motif untuk dia dibunuh sedangkan dia autisme," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, polis kini memfokuskan maklumat risikan bagi memperincikan maklumat sedia ada ke arah memulakan tangkapan.
"Saya sudah berbincang dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan kita kini ke arah mengumpulkan risikan, mungkin akan memulakan tangkapan ke atas suspek yang kita anggap mempunyai 60 peratus keterangannya yang boleh kita jadikan mana-mana individu sebagai suspek.
"Kita tidak menolak kemungkinan akan memanggil semula saksi-saksi sebelum termasuk kedua ibu bapa kanak-kanak autisme itu bagi membantu siasatan," katanya.
Ditanya berhubung laporan patalogi, Razarudin berkata, pihaknya mengekalkan keputusan laporan patalogi yang dibuat sebelum ini.
"Setakat ini sekali, kita tidak akan buat lagi (patalogi) melainkan polis mendapat maklumat lain sekiranya ada tangkapan baharu.
"Atau polis menerima permohonan kali kedua dari keluarga, buat masa ini kita mengekalkan pada laporan patalogi sedia ada," katanya.
Pada 5 Disember lalu, kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang di Damansara Damai di sini, sebelum ditemui meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.
Bagaimanapun siasatan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa.
Pada 23 Disember lalu, media melaporkan polis meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) dalam semakan pangkalan data berkaitan beberapa maklumat yang diperoleh hasil siasatan setakat ini.
Setakat ini, pihak polis merakam keterangan 225 individu, selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu.
Kredit: Harian Metro
0 Comments