JOHOR BAHRU – Bekas vokalis Exists, Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamarudin, 46, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menggunakan dadah, lima tahun lalu.
Mamat membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Fatimah Zahari dan Mahkamah Majistret, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa telah memberi dadah berulang kepada diri sendiri jenis Methamphetamine pada pukul 2 pagi, 9 September 2019, di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.
Mamat juga didakwa telah melakukan kesalahan serupa masing-masing pada 2016 dan 2018.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen (15)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39C (1)(b) akta yang sama.
Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dalam milikannya dadah jenis Methamphetamine seberat 0.17 gram ketika diperiksa polis di Jalan Camar 1/3, Taman Perling, di sini pada pukul 11.35 malam, 8 September 2019.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 12(3) akta yang sama.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil dan Nur Aqillah Ahmad Rofaei manakala Mamat diwakili peguam, Azlina Abdul Aziz.
Terdahulu, di Mahkamah Sesyen, peguam mewakili tertuduh memohon anak guamnya dirujuk bagi mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Permai mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Fatimah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh 22 Februari depan untuk sebutan semula kes termasuk laporan perubatan.
0 Comments