Perbincangan sulh bagi sebutan hadanah atau hak penjagaan anak antara penyampai radio Hot FM, Fizi Ali dan bekas isterinya, Shakilla Khoriri menemui jalan buntu kerana tiada kata sepakat.
Fizi atau nama sebenarnya, Mohd Hafizudin Alimudin, 37, berkata perkara itu akan dibicarakan selepas pengurusan kes yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 22 Februari depan.
"Antara kami, tiada persetujuan jadi perkara ini akan dibawa dan diselesaikan di mahkamah. Shakilla pun tak boleh bersetuju dengan apa yang saya minta.
"Jadi, pegawai sulh mengatakan untuk proses selanjutnya di mahkamah untuk diselesaikan semuanya," katanya.
Bagaimanapun, Fizi tidak boleh menjelaskan permintaannya berikutan kes itu akan dibicarakan kelak.
"Apapun, anak memerlukan ibu dan bapa. Sebenarnya benda ini tidak menjadi masalah, sebab sebelum ini kami boleh bincang.
"Tapi saya terpaksalah bawa perbincangan ini ke tempat sepatutnya untuk cari jalan penyelesaiannya.
"Kalau boleh hari ini saya mahu selesaikannya sebab saya sudah penat dengan semua ini. Saya pun sangat rindukan anak, sudah berbulan tak berjumpa.
"Hampir dua bulan saya tidak dapat berjumpa dengan anak. Jadi, saya rasa ini adalah tempoh paling lama tak dapat jumpa anak. Saya sudah pergi ke sekolahnya, tapi cikgu tak bagi jumpa," katanya sebak.
Fizi berkata, dia tahu lokasi anaknya bagaimanapun menghormati undang-undang dan tidak mahu menyerbu atau menceroboh kerana ia boleh membawa kepada perkara lebih buruk.
"Perkara ini boleh bincang secara baik, tapi Shakilla mahukan begini. Saya sangat sayangkan Nur Ameena Sofia, jadi saya tak kisah orang cakap apa, cakaplah.
"Sekarang saya hanya mahu hak sama rata dan hak saya untuk anak walau macam mana pun.
"Nur Ameena berhak mendapatkan kasih sayang ibu dan bapa. Itu yang saya mahu kerana saya sebagai bapa kena jalankan tanggungjawab ," katanya.
Fizi memaklumkan, mereka memutuskan menjaga anak bersama selepas bercerai.
Sebelum ini, katanya, dia boleh menjaga anaknya secara bergilir.
"Kami tiada persetujuan depan hakim berkenaan anak, jadi bila tiada macam-macam boleh jadi, dia boleh datang ambil bila-bila masa," katanya.
Fizi selaku plaintif memfailkan tuntutan hadanah kekal pada 15 Disember tahun lalu dengan menamakan Shakilla sebagai defendan.
Hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.
Sebelum ini, media melaporkan Fizi memilih untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan kemelut membabitkan urusan penjagaan anak dengan Shakilla.
Kata Fizi, dia masih tidak dapat berhubung dengan anak kesayangan, Nur Ameena apabila panggilan telefon tidak diangkat dan mesej tidak berbalas.
Terdahulu, Fizi meluahkan rasa kesal apabila niatnya untuk berjumpa Nur Ameena semasa majlis graduasi di sebuah tadika pada 11 November lalu tidak kesampaian.
Kata Fizi, dia menunggu Nur Ameena untuk tampil membuat persembahan pada majlis konvokesyen, namun kelibat anaknya tiada.
Sebelum itu, Fizi memuat naik hantaran dalam Instagram meluahkan rasa rindu terhadap anaknya sehingga terbawa-bawa dalam mimpi.
Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 18 Januari 2018, namun bercerai pada Disember 2021.
Kredit:Berita Harian
0 Comments