Bermula kurang 10 orang di sesuatu kawasan, bilangan etnik Rohingya bertambah drastik hanya beberapa tahun sehingga membentuk koloni di banyak lokasi seluruh negara.
Malah, etnik Rohingya yang majoritinya masuk ke negara ini dari Rakhine, Myanmar sebagai pelarian atau pencari suaka, kini ramai yang sudah mengambil alih serta menguasai pelbagai urusan, termasuk aktiviti perniagaan yang sebelum ini dilakukan penduduk tempatan.
Meskipun ada yang masih menyara hidup sebagai petani, buruh atau pengutip besi buruk, ramai etnik Rohingya dikesan memiliki perniagaan sendiri seperti kedai runcit, selain menjadi pembekal barangan keperluan harian atau subkontraktor.
Kehadiran mereka di sesuatu kawasan atau kampung juga ibarat 'magnet' apabila menarik warga asing lain, termasuk Bangladesh dan Myanmar.
Menyelusuri pembentukan koloni Rohingya dengan sekurang-kurangnya empat perkampungan dikuasai mereka di dua negeri iaitu Johor dan Kelantan.
Di Johor, Kampung Telok Serdang, di Perling didiami kira-kira 300 Ronghigya, manakala lebih 1,200 tinggal di Kampung Kangkar Tebrau, Johor Bahru.
Di Kelantan pula, lebih 200 pendatang Rohingya mendiami Kampung Kubang Tin dan lebih 150 di Kampung Melor Lama.
Selain membuka dan melebarkan perniagaan, rata-rata penduduk mengakui bimbang pertambahan warga asing ini mencetuskan pelbagai masalah dari segi sosial serta risiko jenayah.
Di Kampung Telok Serdang dan Kampung Kangkar Tebrau, koloni Rohingya bukan hanya menyaksikan pertambahan mendadak etnik itu, malah bilangan mereka melebihi penduduk asal.
Di Kampung Kubang Tin dan Kampung Melor Lama bilangan mereka melebihi 300 orang berbanding kurang 10 kira-kira sedekad lalu.
Ketua Kampung Telok Serdang, Azman Mudin mengakui hanya 15 hingga 20 etnik Rohingya menyewa di kampung itu pada 2008, namun selepas 16 tahun bertambah sehingga melebihi 300 orang, sedangkan penduduk asal hanya 200 orang.
Kredit: BeritaHarian
0 Comments