Rasa bersalah, Shukri akui kesilapan diri lakukan babak 'soft porn'

Rasa bersalah, Shukri akui kesilapan diri lakukan babak 'soft porn'




Pelakon Shukri Yahaya mohon maaf berhubung isu melakonkan babak didakwa berunsur separuh lucah bersama gandingannya, Alya Iman dalam drama berjudul Layang-Layang Perkahwinan.

Mengulas lanjut, Shukri atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Yahaya mengakui kekhilafan diri dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang.

"Saya minta maaf sebab apa yang terjadi datangnya daripada kesilapan saya sendiri.

"Babak ini sebenarnya dirakamkan pada hari pertama memulakan penggambaran. Saya sangat teruja melakonkan babak ini tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat.

"Selepas selesai penggambaran barulah terdetik rasa bersalah. Saya akan pastikan perkara ini tidak akan berulang pada masa hadapan," katanya.




Dalam pada itu, Shukri turut menjelaskan, dirinya tidak suka membaca skrip terlebih dahulu dan lebih selesa membuat interpretasi mengenai wataknya pada hari penggambaran.

"Terus terang, saya memang tak suka baca skrip dan sejenis bila berada di set penggambaran barulah buat interpretasi berdasarkan skrip.

"Pada awalnya, saya bayangkan babak ini sedikit sahaja. Lagipun, babak ini dilakonkan pada hari pertama penggambaran dan saya terlampau bersungguh-sungguh untuk jayakan watak," ujarnya.

Sementara itu, mengulas perasaan Tya Adnan mengenai babak dilakonkannya, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu tidak menolak ia memberi kesan kepada isterinya.

"Bukan tak hormati perasaan isteri. Dia juga bukanlah okay dengan babak ini, tapi ambil pendekatan tidak menonton drama berkenaan.

"Sebelum itu, saya sudah beritahu Tya mengenai babak ini. Jadi, saya akan lebih berhati-hati selepas ini," katanya ditemui pada siang media drama Layang-Layang Perkahwinan, di sini, hari ini.

Mengulas dakwaan dibenci netizen kerana melakonkan babak berkenaan, Shukri berharap peminat tidak terus beremosi kerana dirinya hanya mahu mempelbagaikan karakter.

"Saya nak cuba nampak lain sebab sebelum ini, saya selalu bawa watak lelaki lurus bendul.

"Jadi, saya nak buktikan boleh bawa watak ini, namun percubaan saya tidak diterima orang ramai. Ini kerana ia agak sensitif," luahnya.




Terdahulu, tular sedutan babak memaparkan adegan Azim Asibullah lakonan Shukri yang sedang mandi sebelum didatangi Tsuraya Lin (Alya) yang memasuki bilik air.

Shukri tidak mengenakan baju kemudiannya bertindak menarik tangan dan Alya memberikan senyuman mengghairahkan.

Sedutan video berkenaan meraih perhatian ramai hingga menjadi bahan kecaman dalam media sosial kerana dianggap cuba menormalisasikan 'soft porn'.

Kredit:Berita Harian

Post a Comment

0 Comments