Remaja dan ALOR GAJAH: Seorang remaja bersama dua rakan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini, hari ini, atas tuduhan menipu ibu angkatnya untuk menyerahkan wang tunai RM25,000 bagi melepaskan orang tahanan tidak wujud, tahun lalu.
Remaja berusia 15 tahun itu bersama rakan sekolahnya berusia 17 tahun dan tertuduh ketiga, Azri Zulhusni Nodin, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan pertuduhan di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaruddin.
Berdasarkan pertuduhan mereka didakwa bersama-sama memperdaya Nooraishah Mohamad, 58, untuk menyerahkan wang tunai RM25,000 melalui remaja 17 tahun itu di pekan Masjid Tanah pada 29 November 2023, kira-kira jam 11 pagi.
Ia bagi urusan melepaskan orang dalam tahanan tidak wujud yang mana mangsa tidak akan berbuat sedemikian sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Mereka didakwa melakukan kesalahan Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 109 akta sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan serta denda.
Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa'ari yang menjalankan pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 untuk Azri Zulhusni dan RM8,000 setiap seorang bagi dua remaja itu.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan Azri Zulhusni yang juga pekerja pembersihan dilepaskan dengan jaminan RM6,000 manakala dua remaja itu masing-masing RM1,500 setiap seorang selepas menimbangkan rayuan mereka.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Februari depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.
Kredit: Berita Harian
0 Comments