Suami kelar isteri sebelum kelar diri sendiri - polis

Suami kelar isteri sebelum kelar diri sendiri - polis

 


Klang: Angkara perselisihan faham, seorang lelaki bertindak mengelar isterinya beberapa kali menggunakan pisau pemotong dalam kejadian di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berhadapan sebuah kondominium di Kota Bayu Emas dekat sini tengah hari tadi.


Lelaki berusia 50 tahun itu kemudian ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta di lokasi berlainan dengan beberapa kesan kelar di badan.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam memaklumkan kejadian seorang lelaki menikam seorang wanita pada jam 1.41 petang.


Katanya, hasil siasatan mendapati bahawa mangsa dan suspek adalah pasangan suami isteri warga tempatan.


LIVE STREAMING: Piala Asia 2023: Info Siaran Langsung Malaysia vs Bahrain (Live Streaming)


"Sekitar jam 1 petang, suspek bersama mangsa yang berusia 49 tahun menaiki kereta dalam perjalanan ke kedai makan dan berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum suspek menghentikan kereta di bahu jalan.


"Suspek kemudian bertindak mengelar mangsa beberapa kali mengunakan pisau pemotong sebelum mangsa yang dalam ketakutan keluar dari kereta untuk meminta bantuan orang awam.


"Apabila sebuah kereta berhenti untuk memberikan bantuan, suspek terus melarikan diri dengan memandu kenderaannya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, bertindak atas maklumat, kereta peronda Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan kemudian mengesan dan menjumpai kereta suspek di Jalan Batu Nilam 34, Bandar Bukit Tinggi dekat sini.


"Anggota polis mendapati suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta berkenaan dan bertindak memecah cermin tingkap untuk membuka pintu kereta bagi menyelamatkan suspek dengan bantuan pihak ambulans.


"Dalam kejadian ini, dia dipercayai mencederakan diri sendiri dengan mengalami beberapa luka kelar di bahagian badan termasuk leher, bahu, tangan, kaki dan belakang badan.


"Suspek dalam keadaan berlumuran darah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya.


Mengulas lanjut, Cha berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.


Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.


"Pihak polis juga mendapati beberapa video berkaitan kejadian ini tular di media sosial justeru orang awam dinasihatkan supaya tidak menularkan video tersebut agar tidak mendatangkan kegusaran masyarakat setempat," katanya.

Post a Comment

0 Comments