ALOR GAJAH – Seorang lagi mangsa tragedi bas ekspres terbakar di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi semalam, dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah, malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Peer Mohamed Kannudeen, 69, dari Chennai, India merupakan datuk kepada remaja, Yafarah Taj Fakrudin Hussaini, 17, yang dilaporkan maut pada hari kejadian akibat kecederaan kebakaran atau melecur teruk.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 8.57 malam tadi selepas mengalami kecederaan melecur 80 peratus.
“Mangsa dimasukkan ke hospital bersama-sama empat ahli keluarganya yang lain, namun cucunya berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia, semalam.
“Pada pukul 8.57 malam tadi, pihak hospital memaklumkan warga emas itu telah meninggal dunia ketika dirawat,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.
Tambahnya, seorang lagi ahli keluarga itu masih dalam keadaan kritikal akibat mengalami melecur 50 peratus dan diintubasi, manakala dua lagi mengalami cedera ringan.
“Cucu mangsa yang berusia 17 tahun dijangka akan dikebumikan di Kuala Ina, di sini hari ini.
“Kesemua mereka dipercayai ke datang ke negara ini untuk melancong,” katanya.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang penumpang maut, manakala empat lagi cedera selepas bas ekspres dua tingkat yang mereka naik terbakar dalam kejadian di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara).
Hasil siasatan polis mendapati, nahas berlaku selepas bas ekspres tersebut menyeret sebuah motosikal yang sebelum itu telah terbabas sendiri di lorong kiri jalan.
Lima mangsa yang cedera merupakan satu keluarga dengan tiga daripadanya mengalami melecur teruk selepas terperangkap di tempat duduk di bahagian belakang bas.
Kredit: KOSMO
0 Comments