Terkini: Pekerja ladang memenggal kepala rakan sekerja untuk dijadikan bahan pemujaan, terlepas hukuman gantung

Terkini: Pekerja ladang memenggal kepala rakan sekerja untuk dijadikan bahan pemujaan, terlepas hukuman gantung




PUTRAJAYA: Hukuman mati ke atas seorang bekas pekerja ladang kelapa sawit yang memenggal kepala rakan sekerjanya bagi mendapatkan tengkorak lelaki itu sebagai satu bahan ritual untuk mendapatkan kemenangan loteri, diringankan kepada penjara selama 35 tahun.
Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan semakan A. Francis di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan).
Tengku Maimun mengarahkan lelaki berusia 52 tahun itu menjalani hukuman penjara itu dari 26 Ogos 1994, tarikh dia ditangkap. Francis sudah berada di dalam penjara selama 30 tahun.
Dua lagi anggota panel hakim itu Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Nordin Hassan.
Peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili Francis memohon mahkamah supaya meringankan hukuman mati Francis kepada pemenjaraan sepanjang hayat kerana kes itu bukanlah satu kes yang luar biasa memandangkan pembunuhan itu bukannya suatu tindakan keganasan dan hanya melibatkan seorang mangsa.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) How May Ling yang dibantu TPR Ng Siew Wee membantah permohonan itu dan menggesa mahkamah untuk mengekalkan hukuman mati kerana kesalahan itu dilakukan secara ganas, kejam dan mengerikan.
"Kesalahan itu terlebih dahulu dirancang dan dilakukan dengan motif untuk mengorban nyawa seorang yang tidak bersalah bagi mendapatkan tengkorak untuk tujuan mendapatkan nombor ekor," kata How.
Francis didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 21 Okt 1996 kerana membunuh warga Bangladesh Ali Ahammed Mohammed Ullah di ladang kelapa sawit Kim Swee Leong, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan-Mentakab, Daerah Temerloh, Pahang antara pukul 9 hingga 11.30 malam, 19 Ogos, 1994.
Rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing ditolak pada 18 Sept 2002 dan 21 Mac 2005.
Menurut fakta kes Francis melakukan kesalahan itu atas nasihat seorang bomoh sebagai satu daripada ritual yang diperlukan. Dia menggunakan batang rotan untuk memukul kepala Ali Ahammed sehingga mangsa tidak sedarkan diri sebelum memenggal kepalanya. Francis kemudian menanam kepada Ali Ahammed di ladang kelapa sawit itu.
Francis merupakan seorang daripada 17 banduan berusia antara 45 hingga 63 tahun yang hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat diringankan kepada hukuman penjara antara 30 hingga 35 tahun.
Dua belas daripada mereka termasuk tiga warga Indonesia - Fernandez, Mohd Nor Fauzi dan Buhanuddin Bardan - Moh Chuan Pin, Mohamad Deraman, Ong Lock Soon, Johan Yeob Idris, M.Poobalan, K. Nanda Kumar, S. Satiaselan, Wan Bakri Wan Ahmad dan Ranjit Singh Jit Singh, memohon kepada mahkamah supaya hukuman mati ke atas mereka diringankan kepada hukuman tahanan.
Empat lagi banduan - Nor Jumalis Abdullah@Khamis, Ku Izham Ku Adnan, Suhirman Maksom (warga Indonesia) dan A. Gunabalan memfailkan permohonan semakan bagi meringankan hukuman penjara seumur hidup terhadap mereka.
Poobalan, Nanda Kumar, Fernandez, Burhanuddin masing-masing telah menerima hukuman 12 kali sebatan.
Tujuh belas banduan itu itu telah disabitkan oleh mahkamah antaranya atas kesalahan membunuh, mengedar dadah dan menggunakan senjata api dalam rompakan.
Kredit: BERNAMA

Post a Comment

0 Comments