Alpaka (Vicugna pacos) adalah sejenis haiwan mamalia di Amerika Selatan seperti Llama kecil. Bulunya yang panjang dapat dijadikan bahan untuk membuat pakaian.
Alpaka telah lama diternakkan sejak beribu-ribu tahun, masyarakat Moche di utara Peru misalnya seringkali menggunakan haiwan ini dalam seni kraftangan mereka. Ia dijinakkan untuk memperoleh bulu dan daging. Saiznya yang kecil menjadikannya tidak sesuai untuk digunakan sebagai haiwan pengangkut.
Alpaka hidup secara berkawan-kawan, dengan pasangan betinanya serta anak-anak. Haiwan ini biasanya akan memberi amaran kepada kawanan mereka di saat datangnya pemangsa melalui jeritan, dan kawanan-kawanan ini boleh menyerang, menggigit serta meludah pemangsa yang lebih kecil sebagai langkah mempertahankan diri.
Haiwan ini kurang memerlukan makanan yang banyak berbanding haiwan-haiwan lain yang sama besar. Ia biasanya akan memakan rumput , tidak kiralah yang segar mahupun yang kering ataupun dedaun tumbuhan lain (namun, sesetengah jenis tumbuhan boleh menjadi beracun kepada alpaka sepeti buah oak, gandum kuda, pokok oren dan sebagainya). Ia juga cenderung akan mengunyah benda-benda yang asing seperti botol plastik.
Jangka hayat alpaka boleh mencecah sehingga 25 tahun.
Bulu alpaka bersifat berkilat dan lembut, ia lebih memerangkap haba dan jauh kurang kasar berbanding bulu biri-biri. Hal ini kerana bulu alpaka tidak mengandungi lanolin, justeru ia tidak menimbulkan alahan kepada penggunanya meskipun ia tidak kalis air. Alpaka biasanya akan dipotong bulu mereka sekali setiap tahun pada musim bunga. Setiap potongan bulu yang diperolehi daripada seekor alpaka menghasilkan sebanyak kira-kira 2.2 hingga 4.5 kilo bulu. Seekor alpaka dewasa pula boleh menghasilkan sebanyak 1.42–2.55 bulu gred pertama serta 1.42–2.84kg bulu gred kedua dan ketiga.
LIKE FOLLOW SHARE BORAK VIRAL
0 Comments