Penerbit sensasi, Datuk A Aida, 54, mencuri perhatian netizen apabila memuat naik entri berbaur amaran kepada anak-anak supaya tidak membelakangkan orang tua dalam mencari jodoh.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), A Aida atau nama sebenar, Zaidah Awang memberi kata dua kepada zuriatnya agar tidak bersikap derhaka dengan berkahwin senyap-senyap atau mereka kehilangan hak sebagai pewaris harta.
"Moga jumpa jodoh dengan mata biru tetapi nak kahwin tu cakap (beritahu), mesti dapat restu dulu. Jangan jadi anak derhaka dan kahwin senyap-senyap ya.
'Nanti sesen pun hartaku tak akan dapat," tulisnya.
Menerusi hantaran sama, Aida turut meluahkan isi hati sebagai ibu sambil berdoa semoga anak-anak menggapai apa yang diimpikan.
"Tidak terucap penat lelah dan susah payah ibu membesarkan anak. Apa saja kemahuan, ibu akan cuba penuhi.
"Sebagai balasan, belajarlah rajin-rajin dan jangan sia-siakan peluang yang ada. Semoga kau berjaya anakku," katanya.
Hantaran itu memaparkan foto Aida yang juga ibu tunggal kepada tiga cahaya mata sedang berada di Melbourne, Australia kerana menghantar anak kedua, Wan Azevanatassha Wan Aminuddin, 23 yang melanjutkan pelajaran di negara kangaru itu.
Selain Wan Azevanatassha, Aida mempunyai seorang lagi anak hasil perkahwinannya dengan Ameng (Spring) iaitu Wan Az Aleesa, 28,
Seorang lagi, Muhammad Rahul, 16, hasil perkongsian hidup dengan pegawai polis, Suffian Sulaiman pada 2007.
Wan Az Aleesa bernikah dengan juruterbang iaitu Zain Azrai Abdul Aziz pada 15 Julai tahun lalu.
Sementara itu, meninjau ruangan komen hantaran itu menerima pelbagai'reaksi netizen. Ada yang memuji tindakan tegas Aida dan mendoakan semoga anak-anaknya patuh pada pesanan ibu.
Ada juga mendakwa perkongsian dibuat sebagai sindiran kepada isu kahwin senyap-senyap membabitkan anak selebriti yang sedang hangat diperkatakan sekarang.
Kredit: Berita Harian
0 Comments