Kerajaan
diminta tidak putar-belit di sebalik pemansuhan beras putih tempatan (SST) dan
beras putih import (SSI) yang akan digantikan beras putih Malaysia Madani
sebagai kategori tunggal bermula 19 Februari ini.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin
berkata, pengumuman dibuat Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul
Fasal semalam lebih banyak menimbulkan persoalan daripada menyelesaikan
masalah.
“Apa makna Datuk Syed
bahawa beras SSI dimansuhkan? Saya dari pihak industri minta penjelasan.
Kenyataan beliau itu bermakna beras SSI tiada lagi, kita tidak dibenar import
lagi dan kita jual beras putih Malaysia Madani ke?
“Kalau itu
cadangan beliau maksudnya ia tidak munasabah sebab kita tidak cukup bekalan di
negara ini,” katanya ketika
dihubungi hari ini.
Presiden
Persatuan Peruncit Bumiputera itu menambah, penjelasan mengenai penghapusan
beras SST yang diumumkan juga dilihat separuh masak dan ia seolah-olah satu
cadangan yang tidak masuk akal.
“Bila kita
hapuskan beras SST yang berharga RM26 itu, ia bermakna harga beras terbabit
akan jadi RM30, lebih tinggi. Jadi maksudnya ia bukan dihapuskan tapi harganya
dinaikkan ke RM30, senang kita faham. Kalau tidak apa maknanya harga beras SST
itu dihapuskan sebab beras itu ada lagi. Berilah penjelasan yang tepat jangan spin atau
pusing-pusing.
“Tolong beri
kenyataan baharu segera, kalau harga itu jadi RM30 maka kita akan rugi kerana
kos kita pun sudah mencecah RM38, bila dimansuhkan memang kita boleh ‘mati’,”
ujarnya.
Dalam pada
itu, Ameer turut menyoal adakah tindakan Syed Abu Hussin mengenai pengumumannya
semalam telah melalui perbincangan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas)
kerana ia dilihat mampu menjejaskan industri.
Malah, beliau
juga mempertikai kuasa Syed Abu Husin yang boleh membuat pengumuman mengenai
perkara itu kerana mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, ia hanya dibuat
oleh menteri bertanggungjawab.
Semalam, Syed
Abu Hussin yang mengetuai Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara
Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) berkata,
penetapan harga itu melibatkan beras 10 kilogram berharga RM30, lima kilogram
pada harga RM15.50 dan satu kilogram RM3.50.
Jelasnya,
ketetapan harga yang diperkenalkan itu merupakan langkah menang-menang kepada
pemegang taruh, pengilang dan peniaga dengan memastikan harga beras di pasaran
stabil.
Kredit:
MalaysiaGazette
0 Comments