Kisah sedih ini diceritakan oleh seorang pengguna facebook.
Rampasan nasi lemak?? Betul-betulkah ia terjadi? Kalau betul, tolong lah cikgu... lain kali jangan la ambik lagi jualan anak-anak kecil itu ...kasihanilah dia.
Mungkin duit jualan tu untuk persekolahan keluarga dia. Adik-adik, abang, kakak... kesian mak ayah dia.
Tahukah cikgu betapa susahnya memasak nasi lemak dan sambalnya? Modalpun tentu lebih daripada biasa waktu ini.. bebanan hidup dihempap GST! Mungkin dengan rampasan hari ini, jangan untung sekupang dua, modal untuk esok sudah tiada...
Gantikanlah RM17 mereka itu... tentu ada barakah yang besar dalam kelembutan hati cikgu... saya yakin, anak-anak sekolah yang menjual nasi lemak di sekolah tak punya ibu ayah yang kaya raya...
Ini kisah silam saya...
Sambal Bilis
Keinginan meluap-luap menambah menu di dewan makan seperti orang lain, nanti pasti tertunai. Setiap kali pulang dari kampung, setiap hari Ahad, selepas waris datang melawat pada hari jumaat dan sabtu, air liurku terkecor. Pipiku kembang basah dengan bau wangi sambal bilis dalam botol nescaffe di depan beberapa rakan. Mereka meratah seekor demi seekor. Aku hanya memandang kadang-kadang menjeling dengan ekor mata. "Tentu sedappp!...kalaulah dia memberi aku merasa barang seekor...
Pagi sabtu itu, Mak sedang mengoyak ikan bilis yang aku beli tadi seekor demi seekor. Cabai kering sudah terapung dipermukaan air dalam mangkok tin kemek di sisi mak. Aku mencuci botol kacang jerok yang aku pungut di belakang kedai Musa. Bersih berkilat. Aku koyak labelnya, tudungnya merah menyala. Ada bau kacang jeruk masih tersisa. Aku membayangkan botol itu penuh dengan sambal, aku bimbit dalam plastik ke dewan makan untuk beberapa hari waktu makan malam. Tentu menyelerakan.
Petang itu aku akan balik ke asrama. Aku memerhatikan adik-adik yang sedang berlari bermain, beg pakaian tepi dinding belum diisi. Botol tu nanti aku balut dengan surat khabar dua tiga lapis, di luarnya plastik supaya tak tumpah dalam beg. Pak belum balik untuk aku minta tambang dan belanja. Berapa ringgit pun tak apa, asalkan lepas tambang dan bayar hutang cikgu RM10.
Lesung batu mak mula berbunyi, sekejap pantas sekejap perlahan rentaknya. Sekejap menumbuk sekejap menggesel. Makin nyaring bunyi lesung, makin hancurlah cabai kering melekat sekeliling dinding lesung dan alunya. Lamunan terhenti bila terdengar suara Mak menghambat adik pergi jauh..."gi meng kot nuu, satgi masuk mata!" Kata Mak kuat. Aku berlari menyambar Shila dan Senah. Rambut Senah kerinting tercongkeng di belakangnya, badannya kurus kering, hanya berseluar pendek. Mata Mak merah berair, bawang merah sudah teradun bersama cabai dalam lesung.
Kraaapp! Mak menarik picu dapur minyak tanah ke atas, mancis api menyala dicampak ke lubang sumbu benang mentah. Lidah api kuning mula menghulur ke atas, Mak ambil bilah dawai bersumbu kecil di hujungnya meratakan api ke sekeliling bulatan dapur bulat biru tua itu. Karat sudah menjamah sebahagian bahagian atasnya. Belanga hitam pusaka Tok Timah menyentuh tungku dapur dan mula berasap.
Aku sudah bersiap ketika Pak pulang dari hutan dengan motor honda cup C70 yang diberi oleh 'Chin Toyu' Kg Berona sebagai upah Pak menukang di rumahnya. Platnya PN 2710, warna kelabu, seatnya warna coklat di sekeliling, hitam di tengah. Duduknya sudah senget ke kiri, besi penambatnya sudah tertanggal dari rangkanya. Tayar depan dan belakang sudah tidak sejajar, memikul beban berat mengganti gerek yang sudah menyandar di belakang rumah.
Tengahari itu aku menerima penuh syukur duit seringgit dan lima ringgit $20 semuanya. Ada gambaran terselit di wajah Pak saat menghulurkan belanja itu. Sukar aku terjemahkan, mungkin itu saja hasil Pak hari ini, semuanya untuk aku. " Belanja jimat-jimat la Shi ooo...adik-adik ramai lagi ni di rumah ni". Pesan Pak. Bersalam mencium tangan Mak Pak belum berbudaya dalam kehidupan keluarga. (Hanya selepas berumahtangga dan berlaku percampuran budaya, barulah kami mengerti apa erti mencium tangan orang tua). Hanya pesanan dan ingatan diberikan untuk melepaskan anak dan adik abang pergi. " Mengaji rajin-rajin la Shi ooo.." pesan Mak. " Mak! Nak hata Ashi nek bas! Jerit adik-adik. " Gii lah! Tapi jangan lintas batas"! Mak memberi ingatan.
Adik-adik berderet menghantarku ke batas (jalan raya), ada berbaju ada yang tidak. "Nak try wak beg, berat ka dak"? Adik-adik meminta, sekejap memintas di depan, sekejap memaut di belakang. " Heh! Tak leh, jatuh satgi pecah sambal ku".
Aku melangkah tangga bas MARA Jeniang-Sik, mengambil tempat. Saat memaling ke luar tingkap, adik-adik sudah berlari-lari pulang bersaing dan mengusik. " Jangan lari satgi rebah". Hanya hati berbisik saat tayar bas bergolek. Kenangan inilah menemaniku bertahun-tahun berjauhan, menghadirkan sedih, pilu bersulam rindu! sepanjang waktu...
Aku tukar bas di Jeniang. Bas UTC Jeniang-Bukit Selambau- Sungai Petani akan membawaku terus ke Mat Jiwa, tambangnya $2.70...aku juga ada sambal malam ini...
"Aku basuh sambalku yang berkulat...."
Malam itu aku ke dewan makan, paling awal, berbekal semangat sambal ikan bilis yang mak. Aku pinjam sudu dan aku makan semulut lepas semulut. Sedapnya masakan mak membawa aku ke rumah. Aku beri sedikit jiran kiri dan kanan, yang jauh aku tak pelawa, takut cepat habis. Aku nak berjimat selama yang boleh.
Balik dari sekolah, aku membuka tudung botol, mengambil baunya, harumnya menghadirkan Mak dan adik-adik. Aku senyum sendiri. 3 hari kemudian, aku kehilangan kenangan, sambalku berkulat memutih di bahagian atasnya. Baunya sudah tidak enak, aku mula menyesal tak sudah. Alamak! Macam mana boleh berkulat. Sambal Pak Lan, Doet, Yasak dua minggu boleh makan lagi? Aduhhh!
Aku sayang ikan bilis itu. Aku cedok kulatnya, membuang ke tong sampah. Aku mencuba sesudu, masih boleh di makan. Aku termenung lama, di mana salahnya sambal aku, aku tak menyelok dengan tangan, aku pakai sudu, aku hanya menciumnya, tak tersentuh di bibir atau hidung.
"Pak Lan, awat sambal hang tahan lama? Yang aku dah berkulat." Aku taya Pak Lan Wahab " Mai tengok!" Pak Lan mencedok dan merasa. " Oooo.... Ikan bilih hang tak goreng dulu kot. Mak aku gorang sampai rapuh, baru boh minyak tomeh dengan cabai, hang tengok, kuah dia semua minyak". Sambil mencedok seekor untuk aku. " Ooo...mungkin cara masak tak sama kot. Tak pa lah, nanti balik kampung aku suruh Mak aku buat lain". Aku memujuk hati yang mula sebak.
Aku ke bilik air, membasuh sambalku, membuang kuahnya. Aku meratah semua ikan bilis yang masih banyak dalam botol, sejemput demi sejemput. Aku tak tergamak membuangnya. Aku beli sendiri ikan bilis tu di kedai Musa. Bukan seringgit, bukan dua ringgit. Untuk sebotol sambal aku saja mungkin $2.50, bakinya untuk makanan di rumah.
Pak Lan tak tahu, masa Mak masak sambal ni, di rumah aku tak ada minyak masak...
Tamat
Semoga cerita ini memberika kita pengajaran dan keinsafan. Ujian hidup tidak sama, jika selesa berada di atas, jangan lupa kesengsaraan orang yang duduk di bawah kita. Undang-undang yang dicipta boleh dilanggar sekiranya ia berkait dengan kemanusiaan.
0 Comments