KUALA LUMPUR: Ratu Rock, Ella yang bakal menjengah usia 57 tahun pada Julai ini, terbuka mendedahkan dirinya sedang dalam fasa menopaus bagi tujuan memupuk kesedaran kepada wanita seusianya untuk menjaga kesihatan.
Artikel berkaitan: Ella tetap anggun walau ditahap usia “opah”- "Saya menyanyi, saya bertani"
Ini kerana, Ella atau nama sebenar, Nor Zila Aminuddin berpendapat, proses penuaan perlu dinikmati dengan mengamalkan penjagaan kesihatan terutama mengambil tahu berkaitan hormon dalam diri.
"Ramai wanita tidak mahu berkongsi fasa menghadapi putus haid sebab enggan susahkan anak-anak dan suami sehingga mengganggu emosi.
"Sekarang sudah ada solusinya, kita kena tahu memenangkan situasi. Saya rasa gembira dan tak beremosi.
"Peranan suami juga penting kerana seperti situasi Azhar yang ajak saya berjumpa dengan kenalan kami selepas mengadu rasa panas dan mudah marah," katanya ditemui pada majlis pengiktirafannya atas komitmen dalam menyebarluaskan kepentingan kesihatan hormon oleh Skyhill Clinic di The Colony KL Eco City, di sini, hari ini.
Ella berkata, pada awalnya, dia tidak mengetahui kepentingan penjagaan hormon yang berperanan menjaga kestabilan emosi terutama bagi wanita yang menuju ke fasa putus haid.
"Sebelum bertemu pakar, saya memang tidak pernah hadapi sebarang penyakit dan hanya tahu bacaan darah berada pada tahap serius.
"Apabila bertemu doktor, saya terkejut bacaan darah mencecah 190. Baru saya tahu darah saya tinggi, hormon tidak menentu yang menjejaskan tahap kesihatan saya.
"Saya seperti nyaris dibawa ambulans kerana bacaan terlalu tinggi. Sedangkan selama ini saya tak tahu sedang menghidap sebarang penyakit," katanya.
Mengenai kerjasama dengan Skyhill Clinic, Ella bersyukur kerana diiktiraf di atas pembabitan, konsistensi dan komitmen dalam menyebarluaskan kepentingan hormon kepada umum.
Menerusi penghargaan itu, Ella menerima pakej rawatan kesihatan hormon bernilai RM300,000 untuk tempoh setahun.
Kredit: Berita Harian
0 Comments