Kuala Lumpur : "Saya ingin berpisah dengan cara yang baik dan matang," kata penyanyi Adira Suhaimi ketika diminta mengulas perkembangan terkini membabitkan hubungan rumah tangganya bersama suami, Datuk Red.
Menurut Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 32, dia tetap percaya perpisahan adalah jalan terbaik buat rumah tangga mereka walaupun suaminya itu masih berusaha untuk mempertahankan perkahwinan dibina selama sembilan tahun.
Kata Adira, dia juga sudah berfikir masak-masak mengenai keputusannya (bercerai) itu sejak beberapa tahun lalu.
"Kami sudah berbincang tetapi buat masa sekarang, memang perpisahan (cerai) saja jalan yang saya nampak. Saya tak boleh nak cerita lebih terperinci mengenainya.
"Kekuatan ini (bercerai) bukan saya baru dapat setahun dua. Tapi sudah lama.
"Bermacam pengajaran dan pengalaman membuatkan saya lebih matang, kuat dan tenang menghadapi semua ini," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di program zumba bersama pelakon Nora Danish dan Elisya Sandha di Taman Tun Dr Ismail, di sini hari ini.
Mengenai dirinya yang nampak ceria dan gembira di media sosial pula, kata Adira, dia tidak mahu menunjukkan kesedihan atau masalah rumah tangga kepada empat anaknya yang masih kecil.
"Sebagai ibu, adalah penting untuk saya sentiasa bersikap positif ketika bersama anak-anak. Saya juga mengelak untuk menangis depan mereka.
"Ibu adalah tunjang kepada keluarga, jika saya berasa sedih dan tidak gembira, mereka akan dapat merasakannya melalui layanan diberi.
"Kadang kala, kalau kita tak okay hingga terjerit kepada anak. Itu yang saya tak mahu ia berlaku," katanya.
Ditanya sama ada masih tinggal sebumbung, Adira memaklumkan dari segi hukum agama mereka masih lagi berstatus suami isteri.
Katanya, dia juga tidak menghalang Datuk Red untuk bermalam dan meluangkan masa dengan empat cahaya mata mereka.
"Jika ditakdirkan kami berpisah sekali pun, saya tidak pernah halang suami untuk terus berjumpa dengan anak-anaknya.
"Saya juga berasal dari keluarga yang bercerai-berai dan saya tidak mahu anak-anak tidak mendapat kasih sayang seorang ayah," katanya.
Terdahulu, Adira memfailkan perceraian dengan suaminya, Datuk Red atau Datuk Seri Adnan pada 25 Oktober, tahun lalu.
Sehubungan itu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat menetapkan 5 Mac depan bagi keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik Adira dan suami berhubung proses penceraian mereka.
0 Comments