"Jangan takut lapor jika anak didera di madrasah" - Peguam

"Jangan takut lapor jika anak didera di madrasah" - Peguam

Mahmud Jumaat


Ibu bapa atau penjaga boleh mengambil tindakan perundangan kepada institusi pendidikan yang didapati melakukan penganiayaan kepada pelajar.


Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat berkata, tindakan itu boleh dilaksanakan dengan membuat laporan polis dan siasatan dilakukan terhadap institusi pendidikan atau madrasah yang melanggar peraturan.


"Runtuh harapan ibu bapa yang menghantar anak ke madrasah tahfiz dengan niat mempelajari ilmu agama dan menjadi orang yang berguna.


"Namun, hakikat berlaku sebaliknya, pasti ini meruntuhkan harapan ibu bapa malah memberi tekanan emosi berpanjangan kepada pelajar terbabit," katanya.


Mahmud berkata, merujuk laporan Metro Ahad beberapa hari lalu yang mana madrasah tahfiz menjadi tempat kekejaman terhadap pelajar.


Laporan akhbar juga menyatakan mereka dipaksa tidur di tandas, dianiaya secara fizikal, dan dibiarkan dalam keadaan fasiliti tidak layak.



Contoh gambar penderaan di salah sebuah madrasah sebelum ini


Katanya, keadaan berlaku terhadap pelajar sungguh menjijikkan khususnya bagi pusat pendidikan berteraskan agama.


"Kita dengar cerita sedih tentang mangsa teraniaya, tetapi mereka tidak berani membuat laporan kerana takut dimarahi dan tiada pilihan lain.


"Mereka terjebak dalam neraka kecil dibina oleh kekejaman manusia, namun, ada satu contoh kes yang boleh membangkitkan semangat kita menegakkan keadilan iaitu kes Pendakwa Raya lwn Huzaifah bin Kasa (2022) MLJU 3593.


"Dalam kes ini, seorang kanak-kanak berumur lapan tahun dari Langkawi (Kedah) yang didaftarkan ke madrasah tahfiz oleh ibu bapanya menjadi mangsa kekejaman, terkunci dalam bilik gelap dan berbau busuk dan dibiarkan teraniaya tanpa belas kasihan," katanya.




Menurutnya, nasib menyebelahi kanak-kanak ini apabila pengadu selaku pegawai pelindung daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Langkawi membuat pemeriksaan di madrasah dan mendapati ada kanak-kanak lelaki iaitu mangsa dikurung di dalam bilik.


"Hasilnya, kebenaran kekejaman dialami mangsa terbongkar, luka merah dan lebam di tubuh kanak-kanak itu menjadi bukti memilukan hasil penganiayaan kejam dilakukan orang yang sepatutnya menjadi pelindung dan pendidik," katanya.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments