Ladang babi Pulau Pinang lepas sisa ternakan, cemar Sungai Air Merah dan Sungai Kulim

Ladang babi Pulau Pinang lepas sisa ternakan, cemar Sungai Air Merah dan Sungai Kulim



Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang sudah mengarahkan penternak babi di perkampungan Sungai Lembu di sini, yang disyaki melepaskan sisa ternakan hingga berlaku pencemaran di Sungai Kulim dan Sungai Air Merah di Kedah menutup operasi ladang serta-merta.


Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol, berkata arahan itu dikeluarkan selepas semakan mendapati ladang itu gagal memperoleh lesen secara sah untuk beroperasi.


"Oleh itu, JPV sudah keluarkan arahan kosongkan ladang, selain meminta jadual pergerakan babi dari ladang terbabit ke rumah sembelih.


"Jumlah babi di ladang ini banyak dan perlu dilaksanakan secara berperingkat, penternak juga didapati tidak mahu mengikut arahan yang ditetapkan.


"Sehubungan itu, JPV akan mengambil tindakan selanjutnya mengikut enakmen sedia ada terhadap penternak berkenaan dan satu kompaun akan dikeluarkan," katanya ketika diminta mengulas isu pelepasan sisa ternakan babi yang dikesan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah.


Fahmi berkata, Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) juga akan melakukan pemantauan di lokasi yang dilaporkan.




Terdahulu, JAS Kedah mengesan berlaku kegiatan melepaskan sisa ternakan babi disyaki dari ladang perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang yang menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.


Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab, dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan pencemaran itu Jumaat lalu, sebelum pegawai penyiasat JAS Cawangan Kulim digerakkan bagi mengesan punca kejadian.


"Pemeriksaan lapangan yang dilakukan pegawai penyiasat meliputi kawasan hulu sungai berjaya mengesan aliran air hitam dari Sungai Air Merah mengalir masuk ke Sungai Kulim.


Sementara itu, Pengarah JAS Pulau Pinang, Norazizi Adinan, berkata pihaknya sudah turun di lapangan sejak semalam dan siasatan diteruskan hingga hari ini.


"Lima lokasi diambil sampel oleh pihak JAS Pulau Pinang dan jika aduan berasas, tindakan susulan termasuk tindakan perundangan akan dikenakan terhadap pemilik kandang babi itu.


"Semua pihak yang mempunyai kuasa perundangan akan diminta untuk mengambil tindakan mengikut kuasa masing-masing. JAS mempunyai kuasa terhad terhadap ladang ternakan kerana tiada kuasa khusus untuk pencemaran dari ladang ternakan," katanya.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments