Polis sudah mengambil tindakan ke atas seorang lelaki yang membenarkan seorang remaja memandu sebuah kereta seperti dalam gambar yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 25 tahun itu adalah anak kepada pengasuh remaja lelaki 13 tahun berkenaan.
"Hasil siasatan yang dijalankan mengesahkan kejadian itu berlaku pada 18 Februari lalu, kira-kira jam 5.30 petang di kawasan taman permainan Taman Daya di sini.
"Ketika kejadian, suspek membenarkan remaja berkenaan memandu kereta itu dengan tujuan untuk mengajar remaja itu memandu.
"Suspek dikenakan tindakan saman atas kesalahan Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan kanak-kanak di bawah umur memandu kenderaan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Raub berkata, kes juga disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001kerana terdapat unsur-unsur pengabaian dan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal.
Terdahulu, tular gambar yang memaparkan seorang kanak-kanak di bawah umur memandu kereta di jalan raya awam yang mana polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 12 tengah hari semalam.
Menerusi gambar itu, kelihatan seorang lelaki dewasa duduk di tempat duduk penumpang, manakala kanak-kanak berkenaan sedang memegang stereng dan memandu kereta terbabit.
Kredit: Harian Metro
0 Comments