'MCMC tak jumpa video podcast temubual Hot Daddy' - Fahmi Fadzil

'MCMC tak jumpa video podcast temubual Hot Daddy' - Fahmi Fadzil


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak mengesan sebarang video memaparkan rakaman platform audio siar atau podcast menjemput seorang lelaki yang sebelum ini didakwa atas kesalahan mengiklankan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.



Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata dapatan awal mendapati video seperti yang didakwa mungkin tidak dimuat naik atau sudah diturunkan oleh platform terbabit.



"MCMC sebelum ini ada menerima laporan berkaitan perkara terbabit, namun siasatan yang dijalankan tidak menemui rakaman video podcast berkenaan.



"Saya sendiri sudah minta pejabat saya menelitinya dan memang tidak menemui video yang dimaksudkan dalam akaun media sosial dimaksudkan itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.



Sebelum ini, sebuah laman web penstriman yang menjemput 'Hot Daddy' untuk datang ke podcast mereka menimbulkan situasi kecoh dalam kalangan umat Islam kerana tindakan itu didakwa seolah-olah menyokong dan mempromosikan lagi apa yang dilakukan lelaki berkenaan.



Ia turut mendapat teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, yang dilaporkan bimbang tindakan itu akan mempengaruhi para remaja dan membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak.



Mengulas lanjut, Fahmi mengingatkan pengendali podcast supaya mengamalkan kawalan kendiri kerana kerajaan belum berhasrat melaksanakan kawal selia ke atas platform terbabit.



"Tetapi seperti disebut seorang 'podcaster', Khairy Jamaluddin (bekas Menteri Kesihatan), sekiranya adab dan batas ada keterlanjuran, maka sekiranya pihak kerajaan menilai dan meneliti ada keperluan, kita akan ambil tindakan.



"Jadi saya minta para podcaster supaya mengenakan kawalan kendiri dan berpada-padalah kita ada undang-undang dan kita ada adab dan budaya," katanya.


Kredit: Berita Harian


Post a Comment

0 Comments