Nak menangis baca luahan Ustaz Syed Shahridzan : "bila bersuara nanti cakap tak ikhlas, mata duitan, cintakan dunia"

Nak menangis baca luahan Ustaz Syed Shahridzan : "bila bersuara nanti cakap tak ikhlas, mata duitan, cintakan dunia"



Stigma dan pemikiran masyarakat Islam ketika ini selalu menganggap bahawa penceramah atau penyampai ilmu agama tidak perlu dibayar atau meminta di bayar. Kerja dakwah ini dikatakan adalah kewajiban sebagai umat Islam terutama yang ber'tittle' ustaz dan ustazah. 


Namun, sedarkah kita bahawa mereka juga manusia biasa yang memerlukan wang untuk mendapatkan keperluan asas seperti makan, pakaian dan tempat tinggal. Jika usaha dakwah ini hanya berbekalkan keikhlasan, bagaimana para pendakwah hari ini hendak meneruskan kelangsungan hidup? Adakah minyak kereta percuma, sekiranya mereka memberitahu stesen minyak yang mereka tengah berdakwah dan berjihad dijalan Allah? Semestinya tidak. Semuanya memerlukan wang. 


Begitulah kisah pahit getir pendakwah hari ini. Ikuti pengalaman ustaz Syed Shahridzan menghadapi situasi seperti ini. 

Gejala ustaz ‘demand’ yang keterlaluan, saya antara yang menentang dan tidak bersetuju. Namun ada kisah pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama sekadar penceritaan.




1) Bulan Ramadan, Saya pernah berkuliah zohor selama sejam di hadapan guru-guru dan pegawai-pegawai sekolah di sebuah sekolah kerajaan, ketika itu cuaca yang agak panas dan dahaga jangan cakap, belum cerita jarak rumah saya ke sekolah itu. Seusai ceramah saya hanya diberi sebotol kicap adabi dan beberapa jenis makanan ringan. Alhamdulillah ia tetap rezeki untuk dinikmati oleh keluarga saya.


2) Saya ingat lagi suatu ketika dahulu hendak pergi ceramah di sebuah surau. Dalam perjalanan dalam dompet saya hanya ada RM10 dan ketika hampir sampai ke destinasi lampu amaran minyak sudah menyala. Dalam hati saya berkata, “Balik ni dapat wang saguhati boleh isi minyak”. Tetapi nasib saya agak malang, malam itu bendahari surau tidak hadir dan saguhati tidak dapat diserahkan malah akan diserahkan pada pengajian akan datang, iaitu bulan depan(aduh! Tengah sengkek gile, mana nak cari duit). Saya tetap tersenyum dan pulang memandu kereta. Singgah di stesen minyak, saya hanya mengisi minyak berharga RM5(sangat-sangat tawakkal, bayangkan setengah perjalanan lampu amaran menyala kembali), baki RM5 untuk bayar tol. Esok terpaksa pinjam duit isteri saya. 


3) Ada sebuah masjid menyerahkan duit saguhati secara online banking. Sehingga kini(sebelum Ramadan) sudah 4 bulan saguhati(4x kuliah bulanan) tidak dimasukkan ke akaun saya dan saya masih lagi tidak tuntut hingga hari ini sebab segan nak mintak. Insya Allah saya akan tetap datang untuk mengajar di masjid itu.


4) Pernah saya dijemput oleh sebuah Majlis Perbandaran untuk menyampaikan ceramah, harga ditanya, saya balas terserah berapa nak beri. Seusai ceramah saya diminta untuk menandatangani borang kemudian diminta untuk sertakan salinan sijil kelulusan dan kad pengenalan, pendek kata urusan sedikit birokrasi. Setelah hampir 2 minggu, barulah saya diminta supaya  diserahkan salinan akaun bank saya. Setelah dihantar, ia tidak bertepatan pula dengan piawaian mereka, jadi hantar yang lain. Setakat ini saya tidak mendapat apa-apa notifikasi dari penganjur dan sehingga sekarang juga saya malu nak bertanya status saguhati tersebut.


5) Saya dijemput untuk menyampaikan kursus klinik solat berdasarkan modul milik saya selama hampir 5 jam. Berkenaan dengan bayaran saya diberi beberapa helai borang oleh penganjur untuk diisi dan saya diminta agar dihantar borang tersebut ke sebuah pejabat agama daerah (bayangkan saya perlu menguruskan sendiri bayaran kursus huhu). Akhir sekali saya berkata kepada pihak penganjur, “Tak mengapa lah puan, saya halalkan sahaja bayaran ini sebab saya tak sanggup nak uruskan sendiri. Lagipun pejabat agama tu jauh dari rumah saya”. Namun penganjur berjanji akan usahakan cara lain. Sehingga sekarang saya masih belum mendapat apa-apa notifikasi dari pihak penganjur. Saya hanya pendamkan sahaja kerana saya malu nak bertanya. Mungkin ada rezeki lain untuk saya.


6) Begitu juga pernah juga dijemput menjadi Imam Tarawih dan penyampai tazkirah di sebuah sekolah asrama kerajaan. Seusai program, tiada apa-apa saguhati diserahkan pada saya. Saya tetap akur dan tidak menuntut sebab biasalah saya malu untuk tuntut. Selang seminggu saya dihubungi oleh pihak penganjur untuk mengisi beberapa helai borang. Memandang ia agak rumit dan leceh serta saya perlukan sertakan beberapa dokumen, saya bertindak menghalalkan sahaja kerana rasa tidak berbaloi dengan bayaran yang ditawarkan. Namun setelah itu tiada apa-apa “action” dan usaha lanjutan dari pihak penganjur sehingga kini. Alhamdulillah... Saya tetap akur dan redha tak de rezeki.


7) Pernah menyampaikan ceramah selama 2 jam. Malam sebelum itu tidur lewat sebab menyiapkan “Slide” untuk dibentangkan di hadapan para pelajar IPT. Seusai program, pihak penganjur(para pelajar sendiri) memohon maaf kerana tiada saguhati disediakan kerana bajet tidak diluluskan oleh pihak berwajib. Mereka tidak sanggup membatalkan program kerana ia sudah diwar-warkan dan diiklankan kepada para pelajar. Kata-kata akhir penganjur, “Harap ustaz tidak serik untuk kongsi ilmu dengan kami lagi ye”. Saya balas sambil tersenyum, “Insya Allah”.  Seperti biasa saya segan nak bantah walaupun itu hak saya kerana masa dan penat lelah saya yang dilaburkan.


8) Pernah suatu ketika dahulu selesai ceramah, penganjur datang bersalaman dengan saya sambil berkata, “Terima kasih banyak-banyak, harap ustaz sampaikan ceramah kepada semua dengan ikhlas ye”. Saya membalas dengan senyum ceria, sambil dalam hati berkata, “Mungkin ini isyarat tiada saguhati disediakan”. Ternyata tekaan saya tepat. Saya menghidupkan enjin kereta terus pulang sambil termanggu bersendirian. 


Banyak lagi nak cerita sebenarnya, takut panjang-panjang orang tak nak baca. Dah lah tak baca, baca tajuk sahaja terus kecam. 


Sebenarnya inilah asam garam kerjaya ustaz penceramah, diluah mati mak, ditelan mati bapak. Mintak salah, tak mintak salah. Sebab mengapa saya dan sebahagian asatizah malu untuk tuntut hak kami? Kerana pengalaman pernah mengajar kami. Bila kami minta ada mulut yang berbunyi, ustaz mata duitan, duniawi, dakwah tidak ikhlas, penunggang agama. Apatah lagi kalau komplen, pasti kecaman bertubi-tubi datang singgah. Seolah-olah siapa yang tuntut hak dan komplen, dialah pemegang watak ustaz Hamadi di dunia realiti.


Oleh itu dari dibiarkan maruah tercemar, lebih baik diam dan redha. Itu lebih baik kerana maruah lebih berharga dari harta, wang dan ringgit. Apa pun prinsip tetap dijaga, ‘demand’ harga mahal bukan objektif dan cara kami.


Alhamdulillah setakat pengalaman saya, majoriti layanan dari para penganjur samaada masjid, surau dan pejabat sangat-sangat memuaskan dan berpatutan serta memahami kehendak semasa.


Kredit: Ustaz Syed Shahridzan


Post a Comment

0 Comments