"Negara pemurah mana nak cari" - Warga asing hutang bil hospital cecah RM100 juta

"Negara pemurah mana nak cari" - Warga asing hutang bil hospital cecah RM100 juta

 


KUALA LUMPUR: Bermodalkan alasan 'janji akan bayar', ramai warga asing terutama pendatang asing tanpa izin (PATI) gagal melangsaikan tunggakan bil perubatan di klinik serta hospital kerajaan sehingga menelan ratusan juta ringgit.


Ini termasuk kos bagi rawatan bersalin, kecemasan, pemeriksaan pesakit luar serta pengambilan ubat, sama seperti yang dinikmati rakyat tempatan yang lain.


Selain memberikan pelbagai helah, ada segelintir warga asing yang terus 'lesap' selepas mendapatkan rawatan sehingga Kementerian Kesihatan (KKM) berputih mata apabila perlu menanggung kerugian, termasuk terpaksa melupus hutang angkara sikap warga asing terbabit.


Sumber KKM, angka terbaru menunjukkan sehingga akhir 2023, jumlah tunggakan membabitkan bil rawatan warga asing mencecah kira-kira RM100 juta.


"Bila sebut warga asing, ia termasuk mereka berstatus pelarian, sama ada berdaftar atau tidak berdaftar serta pendatang asing tanpa izin yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan awam.


"Rawatan terpaksa diberikan kepada warga asing atas dasar hak asasi manusia dan simpati, walaupun status mereka dicurigai atau mereka ini PATI sekali pun.


"Meskipun mereka sudah mendaftar dengan kita dan ada membayar deposit terlebih dahulu, akhirnya mereka lolos juga kerana enggan membayar tunggakan bil rawatan yang mungkin melebihi jangkaan mereka.


"Antara alasan yang sering gunakan adalah tiada duit, janji nak bayar kemudian dan ada juga hilang begitu sahaja," kata sumber.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, ketika dihubungi mengesahkan jumlah tunggakan itu dan berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan


Ketika ini, beliau berkata pihak pengurusan dan teknikal KKM sedang mengadakan perbincangan mengenai isu berkenaan.


Difahamkan, warga asing yang 'berhutang' dengan hospital kerajaan dalam bentuk bil perubatan membabitkan 38 negara sejak beberapa tahun lalu.


Selain negara rantau Asia seperti India, Myanmar dan Indonesia, terdapat juga warga asing terbabit dari negara maju seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Jerman, Finland, Singapura, Sweden dan Jepun.


Mengikut laporan pada 2017, warga asing yang berhutang dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sahaja mencecah RM7.87 juta dalam bentuk bil perubatan berbanding RM3 juta tahun sebelumnya.


Sementara itu, beberapa kakitangan hospital kerajaan yang ditemui mengakui isu warga asing culas membayar tunggakan bil rawatan berlaku di semua hospital dan fasiliti di bawah KKM.


Mereka memaklumkan, isu berkenaan sudah lama berlaku dan sampai sekarang, tiada penyelesaian tuntas diambil pihak hospital khususnya KKM.


Sikap mudah simpati


Difahamkan, sikap mudah simpati dan terlalu bertoleransi pentadbir hospital antara punca segelintir warga asing dilihat begitu senang mengambil kesempatan.


Ia diburukkan lagi dengan dakwaan terdapat kelompongan sistem rekod serta pengesanan pesakit warga asing di hospital kerajaaan, membuatkan warga asing dilihat mudah melepaskan diri daripada membayar tunggakan bil perubatan.


Ia dibuktikan dengan kenyataan Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dalam laporan 15 April 2017, yang mendedahkan kementerian pada waktu itu tidak menyimpan maklumat pesakit warga asing berdasarkan kewarganegaraan mereka.


Terdapat satu kes membabitkan seorang warga UK yang ditimpa kemalangan jalan raya sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital kerajaan di Lembah Klang untuk mendapatkan rawatan.


Selepas dibenarkan keluar wad, pelancong asing itu mendakwa tiada wang untuk melangsaikan tunggakan bil rawatan berjumlah lebih RM20,000 sambil berjanji akan berbuat demikian apabila pulang ke negaranya.


Warga asing yang dimasukkan ke wad untuk rawatan, perlu mengemukakan penjamin sebagai syarat sebelum meneruskan rawatan, Dr Lee Boon Chye


Kes itu dikatakan berlaku beberapa tahun lalu, namun sampai sekarang warga UK berkenaan masih gagal melunaskan tunggakan bil berkenaan bahkan tidak dapat dikesan, meskipun pihak hospital ada meminta bantuan daripada pihak kedutaan untuk mengesan individu terbabit.


Tidak kurang pula segelintir warga asing yang bekerja di negara ini, turut pernah meloloskan diri daripada membayar kos rawatan di fasiliti kerajaan yang kebanyakan membabitkan ibu bersalin.


Hospital kerajaan sering kali menjadi 'sasaran' warga asing ini kerana pakej kos bersalin dan melahirkan anak yang murah sekitar RM3,000, jauh lebih berpatutan berbanding perkhidmatan ditawarkan hospital swasta.


Walaupun kosnya murah, ada segelintir warga asing menggunakan pelbagai helah untuk membayar kos keseluruhan rawatan sehinggakan sanggup mengambil risiko dengan melarikan diri dari wad hospital.


Perkara itu diakui seorang kakitangan hospital kerajaan bahawa banyak kes wanita warga asing yang selesai bersalin di hospital kerajaan melarikan dari wad hanya semata-mata tidak mahu membayar bil rawatan.


Difahamkan, antara taktik warga asing berkenaan adalah menyelinap keluar dari wad rawatan pada waktu melawat.


Tiada data bersepadu sukarkan senarai hitam


Tindakan menyenarai hitam warga asing yang dikesan culas melangsaikan hutang bil perubatan hospital kerajaan berdepan kesukaran apabila apabila tiada sistem bersepadu yang menghubungkan data Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Jabatan Imigresen ketika ini.


Sumber imigresen mendedahkan, pihaknya hanya bergantung kepada permohonan daripada KKM sekiranya kementerian itu mahu menyenarai hitam warga asing berkenaan.


Menurut sumber terbabit, pihaknya juga jarang menerima permohonan daripada KKM untuk menyenarai hitam warga asing yang mempunyai tunggakan bil perubatan hospital kerajaan.


Situasi itu, membuatkan imigresen tidak dapat mengambil tindakan lanjut, termasuk menyekat mereka daripada pulang ke negara masing-masing.


"Sistem imigresen memang tidak ada link (tidak menghubungkan) dengan status bil hospital kerajaan. Sebenarnya, kalau diikutkan, pihak hospital atau KKM sendiri yang akan mohon dengan kita untuk menyenarai hitam warga asing yang gagal bayar tunggakan bil rawatan. Ia bukan automatik.


"Ia sama dengan kes mengelak cukai pendapatan. Kita tak ada sistem untuk periksa berapa hutang mereka. Hanya untuk senarai hitam, itu pun kalau ada permintaan dari agensi atau kementerian berkenaan," katanya.


Kira-kira tujuh tahun lalu, seorang Ahli Dewan Negara pernah membangkitkan isu warga asing culas membayar bil rawatan di hospital kerajaan di Parlimen.


Menurut Senator Siti Aishah Shaik Ismail, beliau menyarankan agar KKM tidak berkompromi dengan warga asing yang culas membayar kos perubatan susulan terdapat laporan yang mendakwa, jumlah tunggakan hutang terpaksa ditanggung kerajaan mencecah RM50.5 juta dari 2012 hingga 2016.


Justeru, beliau menggesa KKM mewujudkan mekanisme khas bagi memastikan warga asing yang mendapat rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan, membayar bil perubatan yang dikenakan.


Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments